
KHARTOUM/ISTANBUL, 24 Januari – Enam maut manakala 12 lagi cedera dengan puluhan lagi masih hilang selepas sebuah lombong emas runtuh di Kordofan Selatan, selatan Sudan pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Rangkaian Doktor Sudan.
- Enam pelombong maut dan 12 cedera akibat keruntuhan lombong emas di Abu Jubaiha, Kordofan Selatan.
- Puluhan lain masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
- NGO gesa operasi menyelamat dipertingkat, bantuan perubatan segera dan perlindungan untuk pelombong.
- Perlombongan kecil penting untuk ekonomi Sudan; isu keselamatan dan penguatkuasaan perlu ditangani.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan berkata: “Kejadian lombong emas runtuh di Abu Jubaiha telah mengorbankan enam pelombong dan mencederakan 12 yang lain. Nasib puluhan lagi masih belum diketahui kerana mereka tertimbus di bawah runtuhan setakat kenyataan ini dikeluarkan.”
NGO itu turut menggesa usaha menyelamat dipergiatkan selain bantuan perubatan segera diberikan kepada mangsa yang cedera.
Kumpulan itu juga meminta kerajaan mengambil langkah melindungi pelombong, termasuk menetapkan piawaian keselamatan, latihan, dan pengawasan berkala bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Ia menegaskan bahawa kecuaian institusi dan kegagalan menguatkuasakan undang-undang telah membahayakan nyawa pelombong, selain menggesa pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan serta langkah praktikal diambil bagi mencegah tragedi serupa.
Aktiviti perlombongan emas berskala kecil menggaji lebih dua juta orang di seluruh Sudan, lazimnya beroperasi dalam keadaan yang sangat ekstrem, dan menghasilkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan pengeluaran emas negara itu.
Walaupun Kerajaan Sudan tidak melarang perlombongan tradisional, ia berusaha untuk mengawal selia sektor itu yang menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan buat sebilangan besar rakyatnya.
Sudan bergantung kepada emas sebagai sumber utama mata wang asing selepas kehilangan tiga perempat daripada hasil minyaknya susulan pemisahan Sudan Selatan pada 2011, yang turut mengakibatkan kehilangan 80 peratus sumber mata wang asing negara itu. – BERNAMA-ANADOLU