Empat warga Perancis disenarai hitam Rusia

Foto AFP

MOSKOW, 12 November – Rusia melarang dua ahli parlimen dan dua wartawan Perancis memasuki negara itu pada Rabu sebagai tindakan balas terhadap pengusiran seorang pengulas televisyen pro-Kremlin oleh pihak berkuasa Perancis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maria Zakharova mengesahkan Sacha Houlie dan Arthur Delaporte disenaraihitamkan daripada memasuki Rusia.
  • Dua wartawan Perancis, Paul Gogo dan Ariane Chemin, turut dikenakan larangan sama.
  • Tindakan itu dikaitkan dengan dakwaan gangguan terhadap Xenia Fedorova, bekas ketua RT France.
  • Keputusan mencetus bantahan media Perancis; Le Monde dan Ouest-France kecam ia sebagai pencabulan kebebasan media.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, mengesahkan bahawa dua ahli parlimen Perancis, Sacha Houlie dan Arthur Delaporte, telah disenaraihitamkan daripada memasuki Rusia.

Turut dikenakan larangan sama ialah dua wartawan Perancis, Paul Gogo dan Ariane Chemin.

Menurut Zakharova, tindakan itu diambil susulan dakwaan gangguan berterusan terhadap Xenia Fedorova, bekas ketua saluran televisyen RT France.

Fedorova sebelum ini diusir dari Perancis selepas Menteri Luar negara itu, Jean-Noel Barrot, melabelkannya sebagai ejen pengaruh Rusia.

Pengusirannya pada Julai lalu diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, yang mendakwa Fedorova menyebarkan propaganda Rusia sehingga menjejaskan kepentingan negara itu.

Bagaimanapun, Fedorova menolak tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu bentuk penapisan.

Rusia pula berikrar akan mengambil tindakan balas.

Keputusan terbaharu Moscow itu mendapat bantahan daripada beberapa organisasi media Perancis.

Akhbar Le Monde, yang merupakan majikan Ariane Chemin, bersama Ouest-France mengkritik tindakan itu dan menyifatkannya sebagai pencabulan kebebasan media serta menyukarkan wartawan melaporkan perkembangan berdasarkan fakta dari Rusia.

Ketegangan berkaitan kebebasan media antara Rusia dan negara Barat bukan perkara baharu.

Moscow sejak sekian lama mengkritik sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap media rasminya.

Bagaimanapun, EU mempertahankan tindakan itu dengan mendakwa saluran berkenaan digunakan sebagai alat propaganda Kremlin.

Sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022, Moscow telah melarang puluhan wartawan, ahli politik dan pegawai Barat memasuki negara itu sebagai tindak balas terhadap sekatan diplomatik dan ekonomi yang dikenakan oleh negara Barat. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.