Empat terbunuh akibat bedilan mortar tentera Pakistan di timur Afghanistan

FOTO AFP

KHOST, 16 Mac – Tiga kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh akibat bedilan tentera Pakistan di timur Afghanistan, menurut pegawai Afghanistan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertempuran rentas sempadan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang awam terbunuh minggu lalu, termasuk beberapa insiden bedilan mortar.
  • Pertempuran memaksa sekitar 115,000 orang mengungsi dan mengganggu perdagangan, tambah tekanan kemanusiaan di wilayah sempadan.
  • Ketegangan memuncak sejak 26 Februari; PBB sahkan 75 korban awam, Pakistan menuduh Afghanistan lindungi militan, Taliban menafikan.

Menurut pihak berkuasa Afghanistan, sekurang-kurangnya 18 orang awam terbunuh di negara itu sepanjang minggu lalu akibat pertempuran rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Jurucakap gabenor wilayah Khost, Mustaghfir Gurbuz, berkata tentera Pakistan melepaskan bedilan mortar ke arah Kampung Nari di daerah Gurbuz.

Serangan itu mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

Menurutnya, bedilan turut mengenai sebuah pasar, klinik kesihatan serta sebuah lagi kampung, menyebabkan empat orang cedera termasuk seorang wanita, dengan dua daripada mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian berasingan pada malam Ahad, dua kanak-kanak turut terbunuh akibat bedilan mortar Pakistan di kawasan Afghan Dubai di wilayah Khost, menurut kenyataan pejabat gabenor.

Sementara itu, seorang lagi mangsa maut di wilayah timur Nuristan selepas sebuah rumah orang awam terkena bedilan pada Ahad, kata Timbalan Jurucakap Kerajaan Afghanistan, Hamdullah Fitrat, menerusi X.

Kedua-dua pihak sebelum ini menegaskan bahawa masing-masing tidak menyasarkan orang awam dalam operasi ketenteraan.

Namun pada Jumaat lalu, misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan mengesahkan sekurang-kurangnya 75 orang awam terbunuh sejak pertempuran dengan Pakistan pada 26 Februari.

Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu semakin tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Islamabad menuduh Afghanistan melindungi militan daripada Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP) yang mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan maut di Pakistan, selain kumpulan Islamic State wilayah Khorasan .

Namun pihak berkuasa Taliban Afghanistan menafikan tuduhan tersebut.

Pertempuran antara kedua-dua negara pada Oktober tahun lalu turut mengorbankan puluhan orang dan hampir menyebabkan penutupan sepenuhnya sempadan.

Ketegangan kembali memuncak pada 26 Februari apabila Afghanistan melancarkan serangan di sempadan sebagai tindak balas terhadap serangan udara Pakistan yang didakwa menyasarkan TTP.

Pakistan kemudian mengisytiharkan “perang terbuka” terhadap pihak berkuasa Taliban Afghanistan dan mengebom ibu negara Kabul pada 27 Februari.

Pertempuran berulang di kawasan sempadan sejak beberapa minggu lalu turut menjejaskan perdagangan dan memaksa kira-kira 115,000 penduduk meninggalkan rumah mereka, menurut agensi pelarian PBB.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia memaklumkan pada Ahad bahawa bantuan makanan kecemasan telah mula disalurkan kepada lebih 20,000 keluarga Afghanistan yang dipindahkan, sambil memberi amaran bahawa ketidakstabilan berterusan boleh menyebabkan jutaan penduduk berdepan kebuluran. – AFP