Dua bot bantuan kemanusiaan ke Cuba hilang

Foto fail/AFP

MEXICO, 27 Mac -Tentera laut Mexico sedang menjalankan operasi mencari dua bot bersama sembilan kru dari pelbagai negara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Cuba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada komunikasi diterima daripada bot dan tiada pengesahan ketibaan di Cuba.
  • Tentera laut memaklumkan komander rantau, stesen pencarian dan bekerjasama dengan agensi antarabangsa serta misi diplomatik negara kru.
  • Krisis kemanusiaan Cuba meruncing selepas sekatan bahan api Amerika Syarikat; aktivis menghantar bekalan makanan dan keperluan lain.

Menurut kenyataan tentera laut pada Khamis, bot berkenaan berlepas dari Isla Mujeres di negeri Quintana Roo, tenggara Mexico, pada Jumaat lalu dan dijadual tiba di Havana antara Selasa hingga Rabu minggu ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang komunikasi diterima daripada bot tersebut, selain tiada pengesahan ketibaan di Cuba.

Pihak tentera laut memaklumkan bahawa mereka telah memaklumkan perkara itu kepada komander tentera laut di rantau berkenaan serta stesen pencarian dan penyelamatannya.

Tentera laut Mexico bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dan kewarganegaraan kru yang terlibat.

Pihaknya sedang berhubung dengan agensi penyelamat di Poland, Perancis, Cuba dan Amerika Syarikat.

Selain itu, kerjasama turut dijalankan dengan misi diplomatik negara asal kru bagi pertukaran maklumat secara masa nyata.

Sejak minggu lalu, aktivis dari beberapa negara berlepas dari pelabuhan Mexico menggunakan kapal yang membawa bekalan makanan dan keperluan lain ke Cuba, yang kini berdepan krisis kemanusiaan susulan sekatan bahan api oleh Amerika Syarikat.

Operasi pencarian kini melibatkan penggunaan pesawat udara di sepanjang laluan antara Isla Mujeres dan Havana.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut menggesa pelayar dan pihak berkuasa maritim di Caribbean serta Teluk Mexico supaya menyalurkan sebarang maklumat atau penemuan berkaitan bot yang hilang kepada pihak berkuasa terdekat.

Krisis di Cuba semakin meruncing selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melaksanakan sekatan minyak secara de facto pada Januari lalu susulan penyingkiran pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, yang sebelum ini menjadi sumber utama bekalan bahan api negara itu. – AFP