Dana pencen Australia–Kanada meterai perjanjian tingkat pelaburan dua hala

Dana pencen terbesar Australia dan Kanada menandatangani satu perjanjian bagi meningkatkan pelaburan di kedua-dua negara/ REUTERS

SYDNEY, 4 Mac – Dana pencen terbesar Australia dan Kanada menandatangani satu perjanjian bagi meningkatkan pelaburan di kedua-dua negara serta memulakan perbincangan dengan kerajaan berhubung halangan dasar untuk membuka lebih banyak modal jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU antara dana pencen Australia dan Kanada bertujuan meningkatkan pelaburan dua hala dalam kedua-dua negara.
  • Perjanjian membuka perbincangan dengan kerajaan mengenai halangan dasar untuk menarik lebih banyak modal jangka panjang.
  • Kerjasama dijangka memperkukuh hubungan dalam pertahanan, keselamatan maritim, mineral kritikal, perdagangan dan kecerdasan buatan.
  • MoU memberi peluang pembelajaran bersama tentang pengurusan dan penggunaan modal pencen jangka panjang.

Inisiatif Pelaburan Dana Pencen Kanada–Australia itu dilancarkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Kanada, Mark Carney ke Australia.

Carney kini dalam rangka lawatan ke beberapa negara rantau Asia-Pasifik termasuk Jepun dan India, di mana beliau menandatangani perjanjian perdagangan serta memulihkan hubungan dengan New Delhi selepas ketegangan selama setahun berhubung isu pemisah Sikh.

Menurut pejabat Carney, Kanada dan Australia mempunyai hubungan yang erat dan dijangka memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan serta keselamatan maritim, mineral kritikal, perdagangan dan kecerdasan buatan.

Pengerusi IFM Investors, Cath Bowtell berkata, kedua-dua pihak sememangnya mempunyai hubungan mendalam sebagai rakan setara, rakan pelabur dan ada kalanya pesaing.

“Kami mendengar ucapan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney beberapa minggu lalu mengenai keperluan menentukur semula hubungan agar mencerminkan kedalaman serta nilai bersama, selain mengutamakan penglibatan bagi memaksimumkan pengaruh.

“Memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama yang dimeterai hari ini akan membantu merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden PSP Investments, Deborah Orida berkata MoU berkenaan membuka peluang pelaburan dua hala yang lebih besar.

“Peluang melalui MoU ini bukan sahaja menggalakkan dana Kanada melabur di Australia dan sebaliknya, malah membolehkan kami saling belajar bagaimana modal pencen jangka panjang dapat digembleng untuk dilaburkan di negara masing-masing,” jelasnya.- REUTERS