Cubaan cetus perang saudara di Iran bahaya

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan – Foto REUTERS

ISTANBUL, 8 Mac – Sebarang usaha mencetuskan perang saudara di Iran sebagai cubaan untuk menukar rejim akan menjadi satu kesilapan bersejarah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakan Fidan menasihatkan agar semua usaha berbahaya dihentikan serta merta.
  • Turkiye menentang sebarang senario yang menyasarkan perpecahan etnik atau agama di Iran.
  • Laporan mendakwa Washington bersedia membekalkan senjata kepada puak Kurdis untuk masuk ke Iran.
  • Setiausaha Negara AS menafikan pelibatan; Trump kata tiada keperluan melibatkan Kurdis, AS tuduh Israel menggunakan kumpulan sebagai proksi.

Reaksi itu disuarakan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan yang turut menasihatkan agar sebarang usaha ke arah itu dihentikan segera.

“Itulah paling berbahaya dan kami menentang semua senario yang bertujuan mencetuskan perang saudara di Iran, yang menyasarkan perpecahan etnik atau agama,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berhubung kesediaan Washington untuk membekalkan persenjataan kepada etnik Kurdis bagi menyusup masuk ke dalam Iran.

Fidan berkata, beliau sudah membangkitkan perkara itu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, yang menafikan sebarang pelibatan Amerika dalam isu tersebut.

“Mereka menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dalam usaha sedemikian dan tidak mempunyai niat untuk melakukannya, sebaliknya menuding jari ke arah strategi Israel yang menggunakan kumpulan itu sebagai proksi,” katanya.

Sementara Presiden Donald Trump pada Sabtu menjelaskan, Amerika Syarikat tidak melihat wujud keperluan untuk melibatkan puak Kurdis dalam perang terhadap Iran.