
BEIJING, 5 Mac – China hari ini mengumumkan sasaran pertumbuhan ekonominya bagi tahun 2026 pada kadar 4.5 hingga 5%, sedikit lebih rendah berbanding pertumbuhan sekitar 5 peratus yang dicapai tahun lalu.
- Sasaran memberi ruang untuk kawal lebihan kapasiti industri dan seimbangkan semula struktur ekonomi.
- Rancangan Lima Tahun ke-15 fokus pelaburan dalam inovasi, teknologi tinggi dan penyelidikan saintifik.
- Kerajaan mahu tingkatkan perbelanjaan isi rumah untuk kurangkan pergantungan kepada eksport.
Sasaran ini memberi ruang kepada kerajaan untuk memperhebat usaha mengawal lebihan kapasiti industri serta menyeimbangkan semula struktur ekonomi negara.
Sasaran pertumbuhan tersebut diumumkan dalam laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Li Qiang di parlimen ketika sesi tahunan dibuka.
Pada masa sama, China turut memperkenalkan Rancangan Lima Tahun ke-15, yang menekankan pelaburan dalam inovasi, industri teknologi tinggi dan penyelidikan saintifik.
Kerajaan juga berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan isi rumah sebagai sebahagian daripada keluaran ekonomi negara, walaupun jumlah peningkatan itu tidak dinyatakan secara khusus.
Langkah tersebut menunjukkan kebimbangan Beijing bahawa permintaan domestik yang lemah menyebabkan ekonomi kedua terbesar dunia itu terlalu bergantung kepada eksport untuk pertumbuhan.
Namun pada masa yang sama, kerajaan China tidak mahu menghentikan usaha menaik taraf sektor industrinya yang besar, yang memberi negara itu pengaruh penting dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam persaingan strategik dengan Amerika Syarikat dan sekutunya.
Menurut pakar ekonomi, sasaran pertumbuhan yang lebih rendah memberi Beijing lebih fleksibiliti untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi, termasuk mengurangkan lebihan kapasiti industri.
Bagaimanapun, mereka menegaskan bahawa langkah ini tidak bermakna China akan meninggalkan model pertumbuhan yang masih berasaskan pengeluaran industri.-REUTERS