China hukum mati empat individu terlibat dengan jenayah di Myanmar

Kumpulan jenayah terancang yang berpangkalan di Myanmar dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah. Foto/AFP

SHENZHEN, 2 Februari – China melaksanakan hukuman mati terhadap empat ahli kumpulan jenayah yang dituduh menjalankan operasi penipuan dalam talian dari Myanmar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat anggota kumpulan jenayah dihukum mati oleh mahkamah China atas pelbagai kesalahan termasuk pembunuhan, penipuan dan penculikan.
  • Kumpulan itu didapati menjalankan kasino dan pusat penipuan di utara Myanmar, mensasarkan mangsa melalui penipuan telekomunikasi dalam talian.
  • Mahkamah mendapati pengubahan wang dan pengedaran dadah besar, termasuk penglibatan ketua dalam pengeluaran 11 tan methamphetamine.

Menurut Mahkamah Menengah Rakyat Shenzhen pada Isnin, empat warga China terbabit telah dijatuhi hukuman pada November atas kesalahan membunuh dengan niat, penipuan telekomunikasi dalam talian, penculikan serta pengedaran dadah.

Defendan kelima yang turut dijatuhi hukuman mati, meninggal dunia akibat penyakit sebelum hukuman dapat dilaksanakan.

Rayuan yang difailkan oleh baki defendan lain telah ditolak pada Disember.

Pelaksanaan hukuman mati itu merupakan yang terbaru dalam siri hukuman mati yang dijalankan terhadap ahli kumpulan geng yang beroperasi dari Myanmar.

Sebuah mahkamah di bandar timur Wenzhou sebelum ini telah menghukum mati 11 orang minggu lepas dalam kes berkaitan.

Mahkamah menyatakan bahawa kumpulan tersebut telah menubuhkan kasino perjudian dan mengendalikan pusat penipuan di premis yang dibina di utara Myanmar.

Pihak berkuasa China percaya, kumpulan berkenaan telah menjana lebih daripada 29 bilion yuan (US$4.2 bilion) melalui perjudian dan penipuan.

Ketua kumpulan itu juga didapati bersalah atas penglibatan dalam pengeluaran dan pengedaran 11 tan methamphetamine. -BERNAMA

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan