
BEIJING, 26 Mac – Kementerian Pertahanan China menggesa semua pihak menghentikan tindakan bersenjata dalam konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
- Amerika Syarikat mendakwa Iran sedia mencapai perjanjian; Iran kata masih meneliti cadangan dan tidak mahu rundingan langsung.
- Pertukaran serangan peluru berpandu dan dron di rantau Teluk dilaporkan berterusan, meningkatkan risiko ketegangan serantau.
- China menekankan penyelesaian melalui dialog setara, elak penyebaran peperangan, dan akan terus berperanan positif meredakan ketegangan.
Jurucakap kementerian itu, Jiang Bin, berkata China menggesa agar konflik diselesaikan melalui dialog serta mengelakkan peningkatan ketegangan.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Iran menunjukkan kesediaan ke arah mencapai perjanjian bagi menamatkan hampir empat minggu pertempuran.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak selari dengan pendirian Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, yang menegaskan negara itu masih meneliti cadangan Amerika Syarikat, namun tidak berhasrat mengadakan rundingan untuk menamatkan konflik tersebut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, berkata walaupun tiada dialog atau rundingan langsung dengan Amerika Syarikat, pelbagai mesej telah disampaikan melalui pihak perantara. Pertukaran serangan peluru berpandu dan dron di rantau Teluk dilaporkan berterusan pada Khamis.
Dalam pada itu, Jiang menegaskan China menggesa semua pihak supaya segera menghentikan tindakan bersenjata, menyelesaikan konflik dan perbezaan melalui dialog secara setara, serta mengelakkan peperangan daripada merebak dan situasi menjadi lebih tegang.
“China akan terus memainkan peranan positif dalam meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan,” katanya.- REUTERS