
CAPE TOWN, 21 Januari– Kebakaran hutan yang kembali marak di Franschhoek, timur Cape Town, memaksa pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan api, apabila angin kencang menolak bara api merentasi kawasan lembah yang kering.
- Asap tebal dan angin kuat menyukarkan penglihatan serta usaha kawalan kebakaran di cerun pergunungan curam.
- Pelbagai bentuk muka bumi termasuk gunung dan ladang menjadikan kebakaran berskala besar serta kompleks untuk dipadamkan.
- Bomba fokus halang api merebak ke ladang buah dan kebun anggur, mengancam sumber ekonomi tempatan.
Asap tebal menyelubungi ruang udara sehingga menukar warna langit menjadi kelabu, sekali gus mengehadkan jarak penglihatan dan menyukarkan usaha mengawal kebakaran di cerun pergunungan yang curam.
Menurut pegawai Persatuan Perlindungan Kebakaran, Ashley Bauer, kebakaran berkenaan dikategorikan sebagai berskala besar dan kompleks kerana melibatkan pelbagai bentuk muka bumi termasuk kawasan pergunungan dan ladang pertanian.
Jelasnya, keadaan itu menimbulkan cabaran berbeza kepada pasukan penyelamat memandangkan kebakaran merebak dalam persekitaran dan medan yang tidak seragam.
Pasukan bomba menumpukan usaha menghalang api daripada merebak lebih jauh ke kawasan pertanian, khususnya ladang buah-buahan dan kebun anggur yang menjadi tunjang ekonomi Franschhoek.
Pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan terhadap kerugian sektor pertanian susulan kebakaran berulang di Western Cape sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kebakaran di Franschhoek antara insiden yang memberi tekanan kepada pasukan tindak balas wilayah.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan. -REUTERS