Blok kediaman rosak teruk akibat serangan Zionis

Sebahagian blok kediaman musnah akibat serangan udara Zionis / REUTERS

BEIRUT, 11 Mac – Sebuah blok apartmen di pusat bandar Beirut mengalami kerosakan teruk selepas terkena serangan udara Israel pada Rabu, lapor agensi berita rasmi Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan Israel meluas ke pusat Beirut, melebihi sasaran kubu kuat Hezbollah di pinggir selatan bandar.
  • Rakaman menunjukkan dua tingkat apartmen rosak teruk di kejiranan Aicha Bakkar dengan kepulan asap tebal.
  • Tentera Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan jumlah korban masih belum dapat disahkan.
  • PBB laporkan kira-kira 700,000 orang terpaksa melarikan diri, lebih satu per sepuluh populasi Lubnan.

Serangan tersebut menandakan peluasan skala serangan Israel ke kawasan ibu kota, melangkaui kubu kuat Hezbollah di pinggir selatan bandar itu yang kini sedang berdepan dengan siri serangan udara berterusan.

Rakaman video di lokasi menunjukkan kerosakan ekstensif melibatkan dua tingkat bangunan apartmen di kejiranan Aicha Bakkar, dengan kepulan asap tebal dilihat menjulang dari struktur berkenaan.

Setakat ini, pihak tentera Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung serangan itu, manakala laporan mengenai jumlah kemalangan jiwa masih belum dapat disahkan.

Seorang penduduk tempatan melaporkan terjaga daripada tidur akibat bunyi pesawat sebelum mendengar dentuman tiga butir peluru berpandu, namun media tempatan setakat ini melaporkan hanya satu serangan tepat mengenai bangunan tersebut.

Insiden ini merupakan serangan kedua Israel yang menyasarkan kawasan tengah Beirut dalam tempoh empat hari, selepas serangan ke atas sebuah hotel di kawasan persisiran pantai Raouche pada Ahad lepas.

Pihak berkuasa Lubnan mendedahkan bahawa hampir 570 orang telah terkorban akibat serangan Israel sejak Hezbollah melancarkan operasi pada 2 Mac lalu, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel terus memperhebatkan serangan di pinggir selatan Beirut, yang dikenali sebagai Dahiyeh, sepanjang malam tadi.

Rejim Zionis sebelum ini telah mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di kawasan Dahiyeh yang majoritinya bermazhab Syiah, serta penduduk di sebahagian besar wilayah selatan dan timur Lubnan.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), krisis yang semakin meruncing ini telah menyebabkan kira-kira 700,000 orang atau lebih satu per sepuluh daripada populasi Lubnan terpaksa melarikan diri dari kediaman masing-masing.-REUTERS