Bhumjaithai dahului keputusan awal ketika undi masih lagi dikira

Pengiraan undi di pusat mengundi di Bangkok/ AFP

BANGKOK, 9 Februari – Parti Bhumjaithai Thailand, pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul muncul sebagai pendahulu awal dalam pilihan raya umum pada Ahad, ketika proses pengiraan undi masih berjalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bhumjaithai muncul pendahulu awal berdasarkan laporan calon meskipun pengiraan rasmi belum selesai.
  • Bhumjaithai dilaporkan memperoleh 178 kerusi dalam kiraan awal ECT.
  • Parti Rakyat dan Pheu Thai masing-masing diberi peranan: menghormati parti teratas tentukan pembentukan kerajaan.
  • Referendum serentak menunjukkan majoriti awal menyokong penggubalan perlembagaan baharu.

Setakat pukul 10.00 malam waktu tempatan, kira-kira 31 peratus undi telah dikira dengan Parti Bhumjaithai mendahului, diikuti oleh parti pembangkang progresif, Parti Rakyat dan Parti Pheu Thai yang disokong oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Data yang diterbitkan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (ECT) Thailand menunjukkan Parti Bhumjaithai telah memperoleh 178 kerusi pada peringkat itu. Parti Rakyat berada di tempat kedua dengan 70 kerusi, manakala Parti Pheu Thai memperoleh 67 kerusi.

Parti Kla Tham yang dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Thammanat Prompao memenangi 56 kerusi, manakala Parti Demokrat yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva memperoleh sembilan kerusi

Bercakap kepada pemberita, Anutin berkata partinya percaya mereka telah memenangi pilihan raya itu berdasarkan laporan calon-calonnya dari seluruh negara, meskipun angka rasmi kerusi masih belum disahkan.

“Berdasarkan penyelarasan dan maklumat terkini secara langsung daripada calon-calon kami di seluruh negara, kami percaya Bhumjaithai telah memperoleh jumlah Ahli Parlimen (MP) tertinggi dalam pilihan raya hari ini,” katanya pada Ahad malam.

Anutin menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan bagi seluruh rakyat Thailand” dan berkata parti itu akan menunggu pengesahan rasmi daripada ECT.

Sementara itu, Natthaphong Ruenpanyawut yang merupakan pemimpin dan calon perdana menteri bagi Parti Rakyat berkata, adalah sukar bagi partinya untuk muncul sebagai parti terbesar berdasarkan keputusan awal pilihan raya itu.

Beliau berkata pihaknya menghormati prinsip parlimen dan akan membenarkan parti yang menduduki tempat teratas untuk menerajui usaha pembentukan kerajaan.

Natthaphong berkata Parti Rakyat bersedia untuk menjadi pembangkang sekiranya Parti Bhumjaithai membentuk kerajaan dan tidak akan mengundi calon perdana menteri daripada Bhumjaithai.

“Kami menghormati prinsip bahawa parti teratas mempunyai peluang pertama untuk membentuk kerajaan. Kita mesti memberikan hak itu sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Julapun Amornvivat yang merupakan pemimpin dan calon perdana menteri Parti Pheu Thai menzahirkan penghargaan kepada pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan menyokong proses demokrasi serta menyokong Pheu Thai.

Julapun menegaskan bahawa parti itu akan terus berkhidmat kepada orang ramai dengan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada Pheu Thai akhirnya berada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Tidak kira apa jua peranan yang kami pikul, kami akan bekerja untuk rakyat dengan kapasiti dan dedikasi sepenuhnya. Hari ini, kami menghormati keputusan rakyat,” katanya.

Kira-kira 52.9 juta rakyat Thailand layak mengundi untuk memilih 500 ahli Dewan Rakyat serta mengundi dalam referendum mengenai penggubalan perlembagaan baharu.

Pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang waktu tempatan dengan proses pengiraan undi sedang dijalankan dan keputusan awal mula diumumkan secara berperingkat.

Dalam referendum yang diadakan serentak dengan pilihan raya itu untuk mengukur sokongan awam terhadap penggubalan perlembagaan baharu, angka awal menunjukkan 16,246,272 undi menyokong, 8,666,503 menentang dan 2,426,854 berkecuali.- BERNAMA