Bandar Tuxtla Gutierrez cipta rekod dunia bentuk jersi bola sepak terbesar

FOTO REUTERS

CHIAPAS, 28 Februari – Bandar Tuxtla Gutierrez di Chiapas, Mexico mencipta rekod dunia baharu apabila seramai 4,757 peserta berhimpun di Stadium Victor Manuel Reyna pada Jumaat bagi membentuk imej manusia terbesar menyerupai jersi bola sepak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuxtla Gutierrez catat rekod dunia baru dengan 4,757 peserta membentuk imej manusia jersi bola sepak.
  • Rekod Guinness mengatasi rekod terdahulu Bucaramanga, Colombia yang melibatkan 2,891 peserta.
  • SECTUR kata kejayaan ini tunjukkan semangat kerjasama dan sebahagian daripada aktiviti Mundial Social 2026.

Pencapaian itu disahkan pihak Guinness World Records selepas para peserta yang memakai baju berwarna berbeza berkumpul di tengah padang stadium bagi membentuk jersi tiga warna yang jelas kelihatan dari pandangan udara.

Rekod tersebut sekali gus mengatasi pencapaian terdahulu yang direkodkan di Bucaramanga, Colombia pada 7 November 2018, melibatkan 2,891 peserta.

Sekretariat Pelancongan Mexico (SECTUR) menerusi hantaran di media sosial menyifatkan kejayaan itu sebagai sebahagian daripada aktiviti Mundial Social 2026.

Menurut kenyataan itu, kejayaan berkenaan membuktikan semangat kerjasama rakyat negara tersebut mampu merealisasikan sesuatu yang luar biasa apabila bersatu hati.

Mexico bakal menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026 bersama Amerika Syarikat dan Kanada. Perlawanan di Mexico dijadual berlangsung di Mexico City, Guadalajara dan Monterrey, dengan kejohanan itu dijangka berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.-REUTERS