Bandar Gaza berdepan krisis air serius, saluran bekalan air rosak teruk

Bandar Gaza berdepan krisis air yang teruk, saluran bekalan air rosak./REUTERS

GAZA, 6 Februari – Bandar Gaza kini berdepan krisis air yang serius susulan kerosakan teruk pada saluran bekalan utama dan paip tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerosakan teruk saluran utama dan paip tempatan menyebabkan akses air bersih amat terhad.
  • Lebih 85% kawasan bandar tidak menerima bekalan air secara berkala, memburukkan krisis kemanusiaan.
  • Penduduk bergantung pada penghantaran lori air yang sangat tidak mencukupi dan tidak tetap.
  • Gangguan berterusan meningkatkan risiko penyakit dan kerosakan alam sekitar jangka panjang.

Ia menyebabkan jutaan penduduk terputus daripada akses air bersih.

Pegawai perbandaran memaklumkan lebih 85 peratus kawasan bandar itu tidak lagi menerima bekalan air secara berkala, selepas gangguan pada saluran air di timur Bandar Gaza serta kemusnahan meluas infrastruktur air akibat operasi ketenteraan zionis.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kemusnahan paip dan sekatan ke atas pasukan perbandaran daripada memasuki kawasan terlarang bagi kerja-kerja pembaikan telah memaksa penduduk bergantung kepada penghantaran air yang tidak menentu dan tidak mencukupi.

“Defisit air kini melebihi 90 peratus. Ini menjadikan keadaan penduduk yang dipindahkan semakin teruk, dengan jumlah mereka di Bandar Gaza kini melebihi satu juta orang. Lebih 85 peratus kawasan bandar tidak lagi menerima bekalan air seperti biasa, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di tengah-tengah keadaan kesihatan dan persekitaran yang sangat sukar.” kata Jurucakap Perbandaran Gaza, Husni Mahna.

Sementara itu, pertubuhan kemanusiaan memberi amaran gangguan berterusan terhadap sistem bekalan air boleh membawa kesan jangka panjang, termasuk peningkatan risiko penyakit dan kerosakan alam sekitar.

Bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal yang berlindung di seluruh bandar, kekurangan air menjadi perjuangan harian.

Hanya terdapat sedikit lori air dan tidak dapat memenuhi keperluan penduduk Gaza yang terlalu sesak.

“Kami sangat menderita akibat kekurangan air. Kami hanya mendapat satu atau dua cawan setiap lima hari. Satu atau dua lori air tidak mencukupi. Di kawasan Yarmouk, kami menghadapi kekurangan air minuman yang teruk dan air untuk kegunaan asas,” kata Mahmoud Al-Hessi, warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Pertubuhan kemanusiaan memberi amaran bahawa gangguan berterusan sistem air boleh membawa akibat jangka panjang, termasuk peningkatan risiko penyakit dan kerosakan alam sekitar.-REUTERS