
TEHRAN, 1 Mac – Ayatollah Ali Khamenei, 86 tahun, dikenali sebagai tokoh paling berpengaruh dalam Republik Islam Iran serta antara pengkritik tegar Barat sepanjang lebih tiga dekad pemerintahannya.
- Memimpin 36 tahun, menghadapi krisis antarabangsa dan protes dalaman termasuk tindakan keras terhadap demonstrasi besar.
- Mengukuhkan kuasa melalui sokongan IRGC, Basij dan empayar kewangan Setad yang memberi pengaruh politik dan ekonomi.
- Berjaya berubah dari pemimpin dianggap lemah menjadi tokoh dominan dalam sistem teokratik Iran.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu mengumumkan Khamenei maut dalam konflik yang menjadi latar utama pemerintahannya, manakala seorang pegawai kanan Israel memaklumkan kepada Reuters bahawa mayat pemimpin itu ditemukan susulan serangan udara bersama AS-Israel ke atas Iran.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran masih belum mengesahkan kematian berkenaan. Imej satelit menunjukkan kerosakan besar pada kompleks kediamannya di Tehran yang menjadi antara sasaran awal kempen pengeboman.
Sekiranya disahkan, kematiannya dianggap tamparan besar kepada Republik Islam Iran yang dipimpinnya sejak 1989, kira-kira sedekad selepas muncul sebagai tokoh penting dalam revolusi teokratik yang menggulingkan sistem monarki negara itu.
Krisis Memuncak Sepanjang Pemerintahan
Sepanjang 36 tahun memegang tampuk kuasa, Khamenei berdepan tekanan antarabangsa dan pergolakan dalaman, termasuk rundingan berlarutan dengan Amerika Syarikat berkaitan program nuklear Iran.
Awal tahun ini, pemimpin tertinggi itu mengarahkan tindakan keras terhadap protes besar-besaran yang tercetus akibat kenaikan kos sara hidup, dengan pasukan keselamatan dilaporkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Pada Jun tahun lalu, Khamenei juga dilaporkan terpaksa berlindung ketika serangan udara selama 12 hari oleh Israel dan kemudian AS yang memusnahkan beberapa kemudahan nuklear serta peluru berpandu Iran selain mengorbankan sekutu rapatnya dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Konflik serantau semakin memuncak selepas serangan kumpulan Hamas yang disokong Iran ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang Gaza serta meningkatkan tekanan terhadap rangkaian sekutu Iran di Asia Barat.
Dengan Hezbollah dilemahkan di Lubnan dan kejatuhan kepimpinan Bashar al-Assad di Syria, pengaruh serantau Iran dilihat semakin terhad, sementara Washington terus mendesak Tehran menghentikan pembangunan peluru berpandu balistiknya.
Kuasa Mutlak Dalam Sistem Politik Iran
Walaupun kerajaan dipilih mengurus pentadbiran harian, hampir semua dasar utama khususnya berkaitan Amerika Syarikat memerlukan kelulusan langsung Khamenei.
Beliau memperkukuh kedudukannya melalui sokongan kuat IRGC dan pasukan separa tentera Basij, yang berulang kali digunakan untuk mengekang bantahan awam, termasuk protes pilihan raya 2009 serta demonstrasi susulan kematian wanita Iran-Kurdish, Mahsa Amini, pada 2022.
Pengaruhnya turut diperkukuh melalui empayar kewangan separa kerajaan dikenali sebagai Setad, yang dianggarkan bernilai puluhan bilion dolar dan mempunyai hubungan rapat dengan institusi keselamatan negara.
Daripada Pemimpin Lemah ke Tokoh Dominan
Pada awal pelantikannya sebagai Pemimpin Tertinggi selepas kematian pengasas Republik Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini, Khamenei sering dianggap pilihan mengejut dan pemimpin yang lemah.
Beliau ketika itu belum mencapai kedudukan agama tertinggi yang lazim bagi jawatan berkenaan, menyebabkan legitimasinya dipersoalkan.
Namun, melalui pembinaan rangkaian keselamatan yang setia serta penguasaan sistem politik berteraskan ulama, Khamenei akhirnya muncul sebagai antara tokoh paling berkuasa dalam sejarah moden Iran.
Penganalisis di Carnegie Endowment for International Peace menyifatkan perjalanan politiknya sebagai ‘sejarah kebetulan’ yang mengubah seorang presiden lemah kepada pemimpin tertinggi yang menjadi antara lima tokoh paling berpengaruh di Iran sepanjang 100 tahun terakhir.-REUTERS