Australia-Indonesia meterai perjanjian keselamatan baharu

FOTO AFP

JAKARTA, 6 Februari – Australia dan Indonesia menandatangani perjanjian keselamatan pada Jumaat, sekali gus merintis jalan kepada kerjasama lebih erat serta pembangunan kemudahan latihan ketenteraan baharu di Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian keselamatan ditandatangani, membuka jalan kepada kerjasama pertahanan lebih erat antara Australia dan Indonesia.
  • Australia akan menyokong pembangunan kemudahan latihan ketenteraan di Indonesia untuk meningkatkan latihan bersama.
  • Perjanjian termasuk penempatan pegawai kanan Indonesia dalam Angkatan Pertahanan Australia, mengukuhkan hubungan dua hala.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata perjanjian itu akan memudahkan pelbagai inisiatif pertahanan, termasuk penempatan seorang pegawai kanan Indonesia dalam Angkatan Pertahanan Australia.

Selain itu, Canberra juga akan menyokong pembangunan kemudahan latihan ketenteraan bagi meningkatkan keupayaan Indonesia untuk menjalankan latihan bersama antara kedua-dua negara.

Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai satu detik bersejarah dalam hubungan dua hala Australia–Indonesia.

“Australia dan Indonesia berkongsi sempadan maritim antara terpanjang di dunia. Ia menjadikan kita rakan semula jadi, namun hari ini kita bukan sekadar rakan, malah sahabat rapat,” katanya dalam satu kenyataan bersama selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan di sini.

Australia sebelum ini berusaha memperkukuh keupayaan ketenteraannya di rantau Asia Pasifik sebagai langkah menangani pengaruh China yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, Indonesia kekal berhati-hati dalam dasar luar negaranya, dengan mengekalkan pendirian tidak memihak bagi mengelakkan ketegangan dengan Beijing, rakan dagang terbesarnya.

Presidennya, Prabowo Subianto berkata perjanjian baharu itu mencerminkan komitmen teguh terhadap prinsip kejiranan yang baik serta dasar luar Indonesia yang bebas dan aktif.

“Kami yakin perjanjian ini akan menjadi antara tonggak penting kepada kestabilan dan kerjasama di rantau ini,” katanya.

Albanese kini dalam lawatan rasmi kelimanya ke Indonesia, yang dijadualkan berakhir esok.

Perjanjian itu dirangka berasaskan perjanjian pertahanan yang dimeterai pada 2024, yang menetapkan kerjasama lebih erat di rantau Asia Pasifik.

Beberapa bulan selepas perjanjian 2024 itu dimeterai, ribuan anggota tentera Australia dan Indonesia mengadakan latihan bersama di Jawa Timur. -AFP