Australia beri amaran kenaikan harga petrol melampau

Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen/Foto REUTERS

SYDNEY, 13 Mac -Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen memberi amaran terhadap tindakan pihak yang menaikkan harga petrol secara melampau yang disifatkannya sebagai ‘berbahaya’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengurangkan Minimum Stockholding Obligation, membolehkan pelepasan rizab bahan api untuk menangani gangguan bekalan.
  • Sehingga 762 juta liter petrol dan diesel boleh dilepaskan daripada rizab domestik untuk menampung permintaan tempatan.
  • Bowen berkata pengedaran mengambil masa kerana rantaian bekalan panjang dan kompleks sebelum sampai ke kawasan serantau.
  • Kerajaan mendakwa peruncit menaikkan harga secara tidak munasabah; orang awam diminta membeli bahan api hanya secukupnya.

Dalam usaha menambah bekalan, Bowen berkata kerajaan akan mengurangkan ‘Minimum Stockholding Obligation’, iaitu peraturan yang menetapkan paras minimum simpanan bahan api sebanyak 20 peratus bagi petrol dan diesel.

Menurutnya, langkah itu membolehkan sehingga 762 juta liter petrol dan diesel dilepaskan daripada rizab domestik Australia bagi menampung gangguan bekalan di pasaran tempatan.

“Langkah ini akan mengambil masa kerana bahan api perlu melalui rantaian bekalan yang panjang dan kompleks sebelum sampai ke kawasan serantau yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Australia turut mendakwa sebahagian peruncit mengambil kesempatan menaikkan harga bahan api secara tidak munasabah sehingga meningkatkan kos domestik.

Sehubungan itu, Bowen menggesa rakyat supaya membeli bahan api sekadar keperluan.

“Saya meminta rakyat Australia membeli bahan api sebanyak yang diperlukan sahaja, tidak lebih dan tidak kurang,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan menjual bahan api pada harga terlalu tinggi sebagai perbuatan “tidak mencerminkan nilai rakyat Australia” dan “berbahaya”.

Pada masa sama, kerajaan menegaskan bekalan bahan api negara itu masih mencukupi.

Australia yang banyak bergantung kepada import minyak bagi keperluan bahan api menyaksikan harga petrol meningkat mendadak susulan pembelian panik selepas tercetusnya konflik di Asia Barat. – AFP