AS-Taiwan meterai perjanjian tarif, galak pelaburan semikonduktor

FOTO AFP

WASHINGTON, 16 Januari – Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian dengan Taiwan bagi mengurangkan tarif ke atas barangan dari pulau demokrasi itu kepada 15 peratus, selain meningkatkan pelaburan syarikat semikonduktor dan teknologi Taiwan di Amerika.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS turunkan tarif barangan Taiwan kepada 15 peratus, menggantikan kadar 20 peratus sebelum ini.
  • Perjanjian galak pelaburan baru sekurang-kurangnya AS$250 bilion dalam kapasiti semikonduktor dan AI di AS.
  • Taiwan sediakan jaminan kredit sekurang-kurangnya AS$250 bilion untuk menyokong pelaburan syarikatnya di AS.
  • Syarikat Taiwan yang melabur di AS dapat keistimewaan duti semikonduktor dan kuota import tanpa duti semasa pembinaan.

Kementerian Perdagangan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan memaklumkan, perjanjian itu “mendorong pemulangan semula secara besar-besaran sektor semikonduktor Amerika”.

Menerusi perjanjian tersebut, Washington akan menurunkan tarif ke atas barangan Taiwan 15 peratus berbanding kadar 20 peratus sebelum ini yang bertujuan menangani defisit perdagangan Amerika Syarikat dan amalan yang disifatkan tidak adil.

“Tarif khusus sektor ke atas alat ganti automotif, kayu balak, papan kayu dan produk berasaskan kayu dari Taiwan turut dihadkan kepada 15 peratus, manakala ubat-ubatan generik dan beberapa sumber asli tidak akan dikenakan duti timbal balik,” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, syarikat cip dan teknologi Taiwan dijangka membuat “pelaburan langsung baharu sekurang-kurangnya AS$250 bilion” di Amerika Syarikat bagi membina dan mengembangkan kapasiti dalam bidang semikonduktor canggih serta kecerdasan buatan (AI).

Taiwan juga akan menyediakan “jaminan kredit sekurang-kurangnya AS$250 bilion bagi memudahkan pelaburan tambahan oleh syarikat Taiwan” bagi menyokong pertumbuhan rantaian bekalan semikonduktor Amerika Syarikat.

Kerajaan Taiwan memaklumkan tarif baharu itu tidak akan dikenakan secara bertindih dengan duti sedia ada, yang sebelum ini menjadi kebimbangan utama industri tempatan.

Pengumuman Kementerian Perdagangan Amerika Syarikat tidak menyebut nama syarikat tertentu, namun perjanjian itu memberi implikasi besar kepada Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), pengeluar cip kontrak terbesar dunia yang membekalkan mikrocip untuk pelbagai produk, termasuk telefon pintar Apple dan perkakasan AI canggih Nvidia.

Dalam satu temu bual bersama CNBC, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick, berkata, TSMC telah membeli tanah dan berpotensi mengembangkan operasinya di Arizona sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

“Mereka baru sahaja membeli ratusan ekar tanah bersebelahan hartanah sedia ada. Kini saya akan memberi mereka masa untuk membawa perkara ini ke peringkat lembaga pengarah,” katanya.

Kementerian Perdagangan Amerika Syarikat turut memaklumkan bahawa pengeluar Taiwan yang melabur di negara itu akan menerima layanan lebih menguntungkan berkaitan sebarang duti semikonduktor pada masa hadapan.

Syarikat yang membina kapasiti baharu cip di Amerika Syarikat dibenarkan mengimport sehingga 2.5 kali ganda daripada kapasiti yang dirancang tanpa dikenakan duti khusus sektor sepanjang tempoh pembinaan. Kuota itu akan dikurangkan kepada 1.5 kali ganda selepas projek siap.

Sehari sebelum itu, pegawai Amerika Syarikat menangguhkan pelaksanaan tarif cip yang lebih meluas, sebaliknya mengumumkan duti 25 peratus ke atas beberapa jenis semikonduktor tertentu yang akan dihantar ke luar negara — langkah penting bagi membolehkan Nvidia menjual cip AI canggih ke China.

Bekas pegawai perdagangan Amerika Syarikat, Ryan Majerus berkata, meskipun tarif cip ketika ini bersifat terhad, Washington telah “memberi isyarat bahawa terdapat potensi untuk peluasan pada masa hadapan”.

Majerus, yang kini rakan kongsi di firma guaman King & Spalding, berkata perjanjian itu mempunyai persamaan dengan perjanjian Amerika Syarikat bersama rakan dagang lain, termasuk Kesatuan Eropah dan Jepun, yang masing-masing turut memperoleh kadar tarif 15 peratus.- AFP