
WASHINGTON, 9 Februari – Meskipun belum memperoleh keputusan rasmi Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent menyifatkan kemenangan besar Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dalam pilihan raya pada Ahad sebagai satu kejayaan penting, sambil menegaskan bahawa Jepun yang kuat akan menjadikan Amerika Syarikat ‘lebih kukuh di Asia’.
- Kemenangan besar Sanae Takaichi dipuji oleh AS sebagai memperkukuh kedudukan Amerika Syarikat di Asia.
- Donald Trump memberikan sokongan terbuka dan mengumumkan lawatan Takaichi ke White House pada 19 Mac.
- Takaichi terkenal tegas terhadap China dan menyokong kemungkinan campur tangan tentera jika ancaman ke atas Taiwan berlaku.
Takaichi, seorang pemimpin konservatif, menerima sokongan terbuka daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum pengundian, dengan anggaran media menunjukkan Parti Liberal Demokratik (LDP) memperoleh lebih dua pertiga kerusi yang dipertandingkan.
“Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi mengadakan pilihan raya mengejut dan hari ini beliau meraih kemenangan besar.
“Presiden Trump menyatakan sokongan kepadanya minggu lalu. Beliau merupakan sekutu yang hebat dan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Presiden. Apabila Jepun kuat, Amerika Syarikat juga akan menjadi kuat di Asia,” kata Bessent ketika ditemu bual dalam rancangan Sunday Morning Futures di Fox News.
Takaichi mengumumkan pilihan raya itu selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Jepun kelima dalam tempoh lima tahun pada Oktober lalu, sekali gus berjaya menghidupkan semula sokongan terhadap partinya yang sebelum ini merosot.
Pada Khamis lalu, Trump menyatakan sokongannya terhadap Takaichi menerusi media sosial dan turut mengambil langkah luar biasa dengan mengumumkan lebih awal bahawa Takaichi akan mengunjungi White House pada 19 Mac, sebelum keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.
Dalam hantaran tersebut, Trump berkata Amerika Syarikat dan Jepun sedang berusaha memuktamadkan perjanjian perdagangan yang ‘sangat besar’, selain memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan negara. Beliau turut memberikan ‘sokongan penuh dan menyeluruh’ kepada Takaichi.
Takaichi pada Ahad merakamkan penghargaan kepada Trump atas ‘kata-kata sokongan’ tersebut, sambil menulis di platform X bahawa “potensi pakatan antara kedua-dua negara adalah tanpa had”.
Nilai perdagangan antara Amerika Syarikat dan Jepun mencecah AS$317 bilion pada 2024, selain kedua-dua negara turut mempunyai pakatan keselamatan jangka panjang, dengan kira-kira 50,000 anggota tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Jepun sebagai tunjang kehadiran ketenteraan Washington di Asia Pasifik.
Takaichi turut dikenali sebagai pemimpin berpendirian tegas terhadap China, pesaing strategik utama Amerika Syarikat, dan pernah menyatakan bahawa Jepun boleh campur tangan secara ketenteraan sekiranya Beijing cuba mengambil alih Taiwan yang ditadbir sendiri melalui kekerasan.- AFP