
SYDNEY, 16 Februari -Polis Australia berjaya mendapatkan semula artifak Mesir yang dicuri dan menahan seorang lelaki berusia 52 tahun berhubung kejadian pecah masuk sebuah muzium di Queensland.
- Semua barangan curi ditemui semula dengan hanya kerosakan kecil selepas pemeriksaan kenderaan suspek di terminal feri.
- Suspek, dinamakan oleh media, ditahan dan berdepan beberapa pertuduhan termasuk pecah dan masuk serta kerosakan sengaja.
- Muzium mengesahkan kehilangan topeng mumia, kolar, barang kemas dan arca kucing kayu serta kerosakan kekal pada beberapa artifak.
- Artifak tidak boleh dipamerkan segera; memerlukan penilaian profesional dan kerja konservasi untuk memastikan kelestarian jangka panjang.
Suspek didakwa memecahkan tingkap dan melarikan artifak berharga itu pada awal pagi Jumaat dari Abbey Museum of Art and Archaeology yang terletak di bandar Caboolture.
Menurut polis, semua barangan yang dicuri ditemui semula dengan hanya mengalami kerosakan kecil selepas kenderaan suspek diperiksa di sebuah terminal feri, selatan lokasi muzium, keesokan harinya.
Suspek ditahan pada petang yang sama.
Media tempatan menamakan suspek sebagai Miguel Simon Mungarrieta Monsalve.
Suspek berdepan beberapa pertuduhan termasuk pecah dan masuk serta tiga pertuduhan melakukan kerosakan dengan sengaja.
Dalam prosiding mahkamah pada Isnin, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa suspek didakwa mencuri topeng mumia, seutas kolar, sejenis barang kemas serta arca kucing kayu selain menyebabkan kerosakan kekal terhadap beberapa artifak lain, menurut laporan penyiar awam Australian Broadcasting Corporation.
Pihak muzium dalam satu kenyataan berkata mereka “lega dan bersyukur” kerana artifak tersebut berjaya ditemui semula.
Namun, semua artifak itu tidak dapat dipamerkan semula dalam masa terdekat.
“Setiap artifak perlu menjalani penilaian profesional dan kerja-kerja konservasi terlebih dahulu bagi memastikan kelestarian jangka panjangnya,” menurut kenyataan tersebut. – AFP