Araghchi nafi ada menghubungi utusan AS, Witkoff

Araghchi nafi ada menghubungi utusan AS, Witkoff./RTM

KUALA LUMPUR, 18 MAC Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menafikan dakwaan bahawa beliau ada menghubungi Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff.

RINGKASAN BERITA AI
  • Araghchi berkata hubungan terakhir dengan Witkoff berlaku sebelum serangan bersama Israel dan AS ke atas Iran pada 28 Feb.
  • Beliau menyifatkan dakwaan sebaliknya bertujuan mengelirukan pedagang minyak dan orang awam.
  • Laporan Axios melalui AA mendakwa Witkoff dan Araghchi bertukar mesej teks berfokus usaha menghentikan peperangan; komunikasi pertama sejak konflik.

Dalam satu hantaran di laman X, Araghchi menjelaskan bahawa hubungan terakhir beliau dengan Witkoff berlaku sebelum Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas.

“Hubungan terakhir saya dengan Encik Witkoff adalah sebelum majikan beliau membuat keputusan untuk menamatkan diplomasi dengan satu lagi serangan ketenteraan haram ke atas Iran.

Sebarang dakwaan sebaliknya dilihat hanya bertujuan untuk mengelirukan pedagang minyak dan orang awam,” tulis beliau.

Terdahulu, Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa laman berita AS, Axios mendakwa Witkoff dan Araghchi telah bertukar mesej teks yang memfokuskan kepada usaha menghentikan peperangan.

Laporan itu mendakwa ia merupakan komunikasi langsung pertama yang diketahui sejak pertempuran meletus lebih dua minggu lepas.

Pada 28 Feb, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran yang mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei, selain mencederakan lebih 10,000 yang lain, menurut pihak berkuasa Iran.

Sejak itu, Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.- BERNAMA