Arab Saudi patahkan serangan peluru berpandu, dron Iran

Pangkalan Tentera Prince Sultan di Arab Saudi / FOTO REUTERS

RIYADH, 7 Mac – Arab Saudi memaklumkan berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah sebuah pangkalan udara yang menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS), ketika Iran meningkatkan serangan di rantau Teluk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan dron terhadap medan minyak berhampiran sempadan Emiriah Arab Bersatu berjaya digagalkan.
  • Enam dron dipintas dan dimusnahkan bagi menolak cubaan menyerang medan minyak Shaybah.
  • Iran melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel dan negara Teluk, manakala Saudi lapor serangan dron ke Ras Tanura.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi menerusi hantaran di platform X memaklumkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Pangkalan Udara Prince Sultan di tenggara ibu negara Riyadh berjaya dipintas dan dimusnahkan.

Dalam kejadian berasingan, agensi berita rasmi negara itu melaporkan serangan dron yang menyasarkan sebuah medan minyak utama berhampiran sempadan Emiriah Arab Bersatu turut berjaya digagalkan.

Jurucakap kementerian pertahanan berkata cubaan serangan ke atas medan minyak Shaybah berjaya dipatahkan selepas enam dron dipintas dan dimusnahkan.

Iran dilaporkan melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta negara Teluk sejak perang tercetus susulan gelombang serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas republik Islam itu pada 28 Februari lalu.

Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, turut melaporkan sekurang-kurangnya dua serangan dron awal minggu ini yang menyasarkan kilang penapisan minyak Ras Tanura di bahagian timur negara itu. – AFP