Alireza Arafi dilantik ganti Khamenei

ALIREZA ARAFI

TEHRAN, 1 Mac – Ahli ulama daripada Majlis Pengawal, Alireza Arafi secara rasmi dilantik menggalas tanggungjawab PemimpinTertinggi Iran buat sementara waktu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alireza Arafi dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi Iran sementara oleh Majlis Pengawal.
  • Pelantikan dibuat susulan kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara AS dan Israel.
  • Arafi akan mengetuai Majlis Kepimpinan bersama Presiden Pezeshkian dan Ketua Hakim Mohseni-Ejei.
  • Tujuan pelantikan memastikan kestabilan pentadbiran, keselamatan dan kesinambungan sistem berpelembagaan Islam.

Pelantikan beliau bagi memenuhi keperluan perlembagaan untuk mewujudkan sebuah badan peralihan susulan kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel.

Alireza Arafi akan menyertai Presiden Masoud Pezeshkian dan Ketua Hakim Negara, Gholam-Hossein Mohseni-Ejei, bagi memimpin Majlis Kepimpinan Iran sementara.

Gabungan tiga tokoh utama melibatkan cabang eksekutif, kehakiman dan keagamaan itu bagi menjamin kestabilan pentadbiran serta keselamatan Iran.

Langkah itu juga bagi mengelakkan sebarang kekosongan kuasa yang boleh dieksploitasi oleh pihak lawan semasa Iran berada dalam keadaan darurat.

Pelantikan Alireza Arafi juga dianggap penting bagi mengekalkan kesinambungan sistem berpelembagaan Islam di Iran berikutan latar belakangnya yang kukuh dalam perundangan syariah.

Tehran kini berada dalam kawalan keselamatan ketat bagi melindungi ahli Majlis Kepimpinan daripada ancaman susulan, sedang negara itu memasuki fasa peralihan kepimpinan paling kritikal dalam era moden Iran.