
MILAN, 15 November – Pihak berkuasa perlindungan data Itali mengenakan denda €805 juta, terhadap Meta akibat mengakses foto, video serta metadata berkaitan yang disimpan dalam peranti Android pengguna, tanpa memperoleh kebenaran dan persetujuan khusus.
- Ciri "Get suggestions from gallery" mencadangkan foto dan video dari telefon pengguna untuk dikongsi di Facebook.
- Facebook meminta kebenaran tunggal yang gagal memberitahu pengguna bahawa galeri foto boleh diakses.
- Pihak berkuasa mengarahkan Meta dapatkan persetujuan berasingan, jelaskan tujuan dan panduan untuk nyahaktifkan ciri.
- Keputusan mengambil kira kira-kira 20 juta pengguna Android terjejas dan kegagalan Meta memberi kerjasama, syarikat mungkin merayu.
Pelanggaran berkenaan disahkan melibatkan ciri Facebook “Get suggestions from gallery when browsing Facebook” yang diperkenalkan pada 2023 yang mencadangkan foto dan video disimpan dalam telefon pintar pengguna untuk dikongsi di platform berkenaan.
Siasatan turut mendapati Facebook meminta kebenaran tunggal merangkumi pelbagai fungsi dengan amaran umum yang gagal memberitahu pengguna dengan jelas bahawa galeri foto mereka boleh diakses.
Pihak berkuasa turut mendapati ciri berkenaan diaktifkan secara cuai.
Denda terbaharu itu, merupakan antara jumlah denda terbesar yang pernah dikenakan oleh pihak berkuasa Itali terhadap sebuah syarikat gergasi teknologi.
Pada tahun 2021, Amazon dikenakan denda melebihi €1.1 bilion akibat melanggar undang-undang persaingan dan jumlah berkenaan bagaimanapun, kemudian dikurangkan kepada €752 juta selepas rayuan.
Meta juga berkemungkinan mengemukakan rayuan terhadap denda berkenaan.
Ketika dihubungi, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu masih belum memberikan sebarang maklum balas sehingga petang Sabtu.
Susulan keputusan itu, Meta kini perlu mendapatkan kebenaran pengguna melalui permintaan yang berasingan dan khusus, bagi ciri berkenaan.
Syarikat itu juga perlu menjelaskan tujuan penggunaan ciri tersebut, termasuk memaklumkan bahawa ia melibatkan akses kepada galeri foto pengguna serta memberi panduan mengenai kaedah menyahaktifkannya.
Dalam menentukan jumlah denda, pihak berkuasa mengambil kira “jumlah pengguna yang terjejas adalah tinggi”, iaitu kira-kira 20 juta pengguna Android di Itali.
Tempoh pelanggaran tersebut turut diambil kira kerana perkara itu masih berterusan bagi pengguna yang belum mengemas kini aplikasi serta mereka yang telah memberikan kebenaran terhadap sistem berkenaan sebelum ini.
Pihak berkuasa turut menyenaraikan “kegagalan Meta untuk memberikan kerjasama sepanjang siasatan” sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan.
Denda itu bersamaan kira-kira 0.4 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan kumpulan syarikat berkenaan, yang mencecah AS$201 bilion pada 2025, dengan keuntungan bersih sebanyak AS$60.5 bilion.-AFP