
MILAN, 8 Februari – Seramai 5,000 individu berhimpun di jalan raya sekitar Milan bagi membantah penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina yang menyebabkan peningkatan kos perumahan serta kebimbangan terhadap isu alam sekitar.
- 5,000 orang berhimpun di Milan membantah Olimpik Susun Sejuk kerana mendorong kenaikan kadar sewaan dan kos sara hidup.
- Aktivis berkata pembangunan berkaitan temasya menunjukkan model bandar tidak mampan dan melebar jurang ketidaksamaan.
- Penunjuk perasaan dakwa projek infrastruktur membazirkan dana awam dan menjejaskan alam sekitar komuniti pergunungan.
Perarakan itu dianjurkan kumpulan memperjuangkan hak perumahan serta aktivis komuniti pusat sosial, yang bertujuan mengetengahkan apa yang disifatkan sebagai model pembangunan bandar yang semakin tidak mampan, ditandai dengan kenaikan mendadak kadar sewaan dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar.
Penganjuran temasya Olimpik tersebut melengkapkan satu dekad ledakan pasaran hartanah di Milan susulan Ekspo Dunia 2015, sekali gus memberi tekanan kepada penduduk tempatan akibat peningkatan kos sara hidup.
Keadaan itu turut dipengaruhi skim cukai di Itali yang menarik golongan berpendapatan tinggi serta kesan Brexit yang mendorong golongan profesional berhijrah ke pusat kewangan negara itu.
Sebahagian kumpulan turut berpendapat penganjuran Olimpik merupakan pembaziran wang awam dan sumber, dengan merujuk kepada projek infrastruktur yang didakwa telah menjejaskan alam sekitar di kawasan komuniti pergunungan.
Sepanduk sepanjang perarakan itu tertera slogan, “Mari kita rampas kembali bandar, bebaskan pergunungan.”
Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menjelaskan bahawa kebanyakan acara Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina menggunakan kemudahan sedia ada, sekali gus menjadikan penganjuran temasya itu lebih mampan.
Para penunjuk perasaan memulakan perarakan dari Dataran Medaglie d’Oro dan bergerak sejauh hampir empat kilometer sebelum berakhir di kawasan Corvetto di tenggara Milan, sebuah daerah bersejarah yang didiami golongan pekerja.- REUTERS