15 negeri di Amerika Syarikat saman pentadbiran Trump susulan pengurangan vaksin kanak-kanak

Foto hiasan / REUTERS

WASHINGTON, 25 Februari – 15 negeri yang ditadbir parti Demokrat di Amerika Syarikat memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung keputusan mengurangkan bilangan vaksin yang disyorkan untuk bayi dan kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • 15 negeri Demokrat memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump atas perubahan saranan vaksin kanak-kanak yang diketuai Robert F. Kennedy Jr.
  • Penstrukturan semula mengurangkan vaksin yang disyorkan secara menyeluruh kepada tujuh vaksin, menimbulkan kebimbangan penularan penyakit.
  • Negeri kata langkah itu mengetepikan bukti saintifik, menjejaskan sumber negeri dan kesihatan kanak-kanak.

Pembaharuan yang diumumkan bulan lalu oleh Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) diterajui tokoh skeptikal vaksin, Robert F. Kennedy Jr, menyaksikan negara itu tidak lagi mengesyorkan semua kanak-kanak menerima imunisasi terhadap beberapa penyakit termasuk rotavirus, influenza dan Covid-19.

Sebaliknya, tujuh vaksin terbabit kini hanya disyorkan kepada kanak-kanak yang dikenal pasti berisiko tinggi, sekali gus membatalkan saranan berasaskan bukti saintifik yang sekian lama dalam mengurangkan penularan penyakit menerusi imunisasi berkala.

“Setiausaha Kesihatan dan CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit) telah mengetepikan penyelidikan saintifik selama beberapa dekad, mengabaikan pandangan pakar perubatan yang boleh dipercayai, dan mengancam untuk membebankan sumber negeri serta menjejaskan kesihatan kanak-kanak,” kata Peguam Negara California, Rob Bonta, yang mengetuai saman berkenaaan bersama rakan sejawatannya dari Arizona dalam sidang media di sini.

Selain Kennedy, CDC, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia turut dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Negeri lain yang menyertai saman tersebut termasuk Colorado, Michigan, New Jersey dan Wisconsin.

Penstrukturan semula jadual imunisasi kanak-kanak oleh Washington itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti perubatan dengan vaksin lain yang tidak lagi disyorkan secara menyeluruh meliputi vaksin Hepatitis A, meningitis, virus respiratori sinsitial (RSV) dan Hepatitis B yang lebih mudah berjangkit.

Pentadbiran Trump bulan lalu mempertahankan langkah tersebut dengan menyatakan dasar vaksinasi AS kini lebih selari dengan beberapa negara lain, termasuk Denmark.

Bagaimanapun, pakar kesihatan menegaskan Denmark merupakan sebuah negara kecil dengan kadar penyakit rendah serta sistem penjagaan kesihatan berpusat yang menjamin akses sejagat, satu keadaan yang berbeza dengan Amerika Syarikat.

Sistem kesihatan AS yang sebahagian besarnya diswastakan dilihat kurang menyeluruh berbanding negara Eropah utara dan menyebabkan jutaan rakyat tidak dilindungi insurans.