15 maut pesawat tentera Bolivia terhempas atas jalan raya sibuk

FOTO REUTERS

EL ALTO, 28 Februari – Seramai 15 individu maut manakala sekurang-kurangnya 30 lagi cedera selepas sebuah pesawat Hercules milik Tentera Udara Bolivia yang membawa wang kertas baharu dari bank pusat negara itu terhempas di sebuah jalan raya sibuk pada Jumaat malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesawat Hercules tentera terhempas di jalan raya sibuk, menyebabkan kematian dan kecederaan ramai.
  • Wang kertas baharu bertaburan, orang ramai berkumpul dan pihak berkuasa guna pancutan air serta gas pemedih mata.
  • Lapangan terbang El Alto ditutup sementara; bank pusat akan adakan sidang media untuk penjelasan.

Menurut laporan televisyen tempatan, kejadian berlaku ketika cuaca buruk di bandar El Alto, berhampiran ibu negara Bolivia, La Paz.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan pesawat tentera itu berlepas dari bandar Santa Cruz sebelum terhempas selepas mendarat dan tergelincir keluar dari landasan lalu merempuh laluan bersebelahan.

Rakaman di media sosial menunjukkan suasana kelam-kabut apabila orang ramai berkumpul di lokasi nahas dan dipercayai mengambil wang kertas yang bertaburan di atas jalan selepas kejadian. Pihak berkuasa terpaksa menyuraikan orang ramai menggunakan pancutan air dan gas pemedih mata. Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman tersebut.

Bank pusat Bolivia dijadual mengadakan sidang media lewat Jumaat bagi memberi penjelasan lanjut mengenai insiden berkenaan.

Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto ditutup sementara susulan nahas itu, menurut kenyataan syarikat penerbangan nasional Boliviana de Aviacion yang turut memaklumkan pesawat terlibat bukan milik armadanya.

Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan pesawat mengalami kerosakan teruk selain beberapa kenderaan di jalan raya terbabit turut rosak akibat nahas tersebut.-REUTERS