
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Penyanyi muda tempatan, Layla Sania tampil dengan pendekatan berbeza dengan menghasilkan dan menyanyikan lagu sempena Tahun Baharu Cina berjudul ‘Xin Nian Re Nao’.
- Layla Sania hasilkan lagu Tahun Baharu Cina untuk mencuba sesuatu baru dalam kerjaya seni.
- Lagu berbahasa Cina dibuat bagi mempamerkan kepelbagaian budaya Malaysia dan menyatukan rakyat.
- Ramai rakan Melayu sudah boleh menyanyikan lagu ini; lagu perayaan dilihat sebagai budaya bukan keagamaan.
- Beliau bersyukur atas sokongan penaja dan media, berharap lagu menyemarakkan semangat perpaduan.
Menurut Layla, idea untuk menghasilkan lagu berbahasa Cina itu tercetus daripada keinginannya mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seninya sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Kita mahu rakyat Malaysia melihat kepelbagaian budaya negara kita. Di sini, kita mempunyai pelbagai bangsa dan bahasa yang sebenarnya boleh menjadi jambatan untuk menyatukan kita.
“Walaupun lagu ini berbahasa Cina, ramai rakan Melayu sudah mampu menyanyikannya. Lagu Tahun Baharu Cina bukan berunsur keagamaan, tetapi sebahagian daripada budaya. Begitu juga, masyarakat Cina turut menyanyikan lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri, inilah keindahan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran lagu Tahun Baharu Cina ‘Xin Nian Re Nao’ di ibu negara, hari ini.
Laila turut meluahkan rasa syukur atas sokongan padu daripada penaja serta rakan-rakan media yang turut membantu menjayakan pelancaran lagu berkenaan.
Beliau berharap karya terbaharunya itu diterima baik semua lapisan masyarakat dan seterusnya terus menyemarakkan semangat perpaduan melalui seni muzik.