KUALA LUMPUR, 4 Mac – Sempena dengan Ramadan dan Syawal tahun ini, Rocketfuel Entertainment tampil dengan inisiatif istimewa menerusi pelancaran tujuh lagu raya pelbagai genre bawah kempen “Bila Bersama, Lagi Jadi”.
- Rocketfuel Entertainment lancar EP tujuh lagu raya pelbagai genre bawah kempen "Bila Bersama, Lagi Jadi".
- Rindu Raya oleh ALPHA tonjolkan tema kerinduan keluarga; lagu capai lebih 200,000 tontonan YouTube.
- Pelbagai gaya termasuk pop, M-Pop, rap moden dan balada menyentuh aspek keterujaan, realiti masyarakat dan kehilangan.
- Tujuan koleksi: menyatukan pelbagai latar dan emosi, menyemarakkan suasana Syawal 2026 di Malaysia.
Kesemua lagu ini dihimpunkan dalam sebuah EP khas, membentuk “universe” raya tersendiri yang saling berkait dari segi penceritaan dan emosi.
Antara yang mencuri perhatian ialah “Rindu Raya” nyanyian ALPHA, sebuah lagu pop sederhana tempo yang menyentuh tema kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman.
Dilancarkan pada 21 Februari lalu, lagu ini telah meraih lebih 200,000 tontonan di YouTube Rocketfuel Network.
Suasana ceria pula dibawakan Wani Kayrie menerusi “Kampung Kita”, kesinambungan kepada lagu viralnya sebelum ini. Lagu ini mengangkat keterujaan pulang ke desa, termasuk kisah manis bertemu insan tersayang.
Kolaborasi segar antara Hael Husaini dan ALPHA dalam “Raya Macam Raya” mengetengahkan semangat membuat persiapan Syawal dengan sentuhan M-Pop yang bertenaga.
Hael turut menghadiahkan single solo, “Lagu Raya Untukmu”, sebagai tanda penghargaan buat peminat setia.
Realiti masyarakat masa kini disentuh dalam “Duit Raya” nyanyian Sharul Kamal dan Mierul Aiman, yang mengingatkan bahawa Aidilfitri bukan soal kemewahan, sebaliknya tentang kasih sayang dan kebersamaan, disampaikan dengan elemen rap moden.
Sementara itu, Dayang Nurfaizah menyentuh hati menerusi balada “Senyum Gugur Di Hujung Doa”, karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, yang berkisar tentang kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi.
Lagu ini dilancarkan di platform penstriman pada 6 Mac 2026.
Melengkapkan koleksi ialah “Restu Raya” daripada Nadeera, yang tampil dengan melodi mudah diikuti dan mesej penyatuan sempena Syawal.
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, kepelbagaian lagu ini mencerminkan realiti masyarakat yang berbeza latar dan rasa, namun tetap bersatu apabila tibanya hari raya.
Dengan gabungan lagu ceria, reflektif dan moden, Rocketfuel Entertainment sekali lagi membuktikan komitmen mereka dalam menyemarakkan suasana Syawal 2026 dengan karya yang dekat di hati rakyat Malaysia.