Tarikh lahir P. Ramlee diangkat sebagai Hari Seniman 2026

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kekal sebagai Seniman Agung Negara dengan karya seni yang terus mewarnai industri hiburan tanah air

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Tarikh kelahiran Tokoh Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac diwartakan sebagai Hari Seniman 2026 bagi mengenang jasa serta sumbangan besar beliau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Komunikasi berkongsi video penghargaan, menyeru penggiat seni terus berkarya memartabatkan budaya dan menyatukan masyarakat melalui seni.
  • Allahyarham P. Ramlee kekal ikon seni negara, memberi pengaruh berterusan dalam bidang perfileman dan muzik.
  • Beliau pelakon, pengarah dan komposer prolifik era 1950-an hingga 1960-an, menghasilkan filem serta lagu sarat mesej sosial.

Perkara itu dikongsikan menerusi video berdurasi 20 saat oleh Kementerian Komunikasi bagi menghargai peranan penggiat seni dalam memartabatkan industri seni tanah air.

“Sambutan ini menjadi simbol penghargaan kepada para penggiat seni tanah air untuk terus berkarya, memartabatkan budaya dan memupuk kreativiti tanpa henti dalam menyatukan masyarakat melalui seni,” menurut hantaran Kementerian Komunikasi di Facebook hari ini.

Allahyarham P. Ramlee kekal sebagai ikon seni negara dengan sumbangan besar dalam bidang perfileman dan muzik yang terus memberi pengaruh hingga ke hari ini.

Dilahirkan sebagai Teuku ZakariaTeuku Nyak Puteh di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929, beliau mula menunjukkan bakat seni sejak di bangku sekolah sebelum melangkah ke industri perfileman di Singapura sekitar akhir 1940-an.

P. Ramlee kemudiannya mencipta nama sebagai pelakon, pengarah dan komposer prolifik, khususnya ketika era kegemilangan filem Melayu pada 1950-an hingga 1960-an.

Antara karya filem yang melonjakkan namanya termasuk Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ibu Mertua Ku dan Anakku Sazali, selain menghasilkan lagu malar segar seperti Getaran Jiwa dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Karya beliau bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan mesej sosial dan nilai kemanusiaan yang mencerminkan realiti masyarakat ketika itu.