
LONDON, 24 Februari – Pelakon dan pelawak Britain, Russell Brand mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan tambahan membabitkan rogol dan serangan seksual yang didakwa berlaku hampir dua dekad lalu.
- Russell Brand mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan tambahan membabitkan rogol dan serangan seksual yang didakwa berlaku pada 2009.
- Beliau sebelum ini telah didakwa atas beberapa tuduhan antara 1999 hingga 2005 dan mengaku tidak bersalah pada Mei tahun lalu.
- Satu prosiding akan diadakan bulan depan untuk tentukan sama ada pertuduhan terbaharu digabungkan dalam perbicaraan yang dijadualkan Jun ini.
Brand, 50, membuat pengakuan itu ketika hadir di Southwark Crown Court, London, pada Selasa.
Bekas penyampai terkenal Britain dan juga bekas suami penyanyi Amerika Syarikat, Katy Perry itu menafikan dakwaan merogol seorang wanita serta melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi wanita pada 2009.
Tahun lalu, dia didakwa atas dua pertuduhan rogol, satu pertuduhan serangan tidak senonoh dan dua pertuduhan serangan seksual melibatkan empat wanita antara 1999 hingga 2005.
Pada Mei tahun lalu, Brand mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan berkenaan dan dijadualkan dibicarakan pada Jun ini. Satu prosiding akan diadakan bulan depan bagi menentukan sama ada dakwaan terbaharu itu akan digabungkan dalam perbicaraan sama, dengan peguamnya memaklumkan pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti pertuduhan terbaharu.
Brand tiba di mahkamah dengan mengenakan topi koboi putih dan cermin mata hitam. Ketika ditanya mengenai keadaannya, beliau yang sebelum ini menyatakan telah memeluk agama Kristian pada 2024 berkata dia berasa “diberkati”.
Pada era 2000-an, Brand merupakan antara personaliti kerap muncul di kaca televisyen Britain, dikenali dengan gaya flamboyan serta pernah berkhidmat sebagai penyampai radio untuk BBC.
Brand turut membintangi beberapa filem termasuk Get Him to the Greek pada 2010, tahun sama beliau mendirikan rumah tangga dengan Perry. Pasangan itu bercerai pada 2012 selepas 14 bulan berkahwin.
Menjelang awal 2020-an, Brand dilihat semakin kurang muncul dalam arus perdana dan kini lebih aktif di platform dalam talian, sering berkongsi pandangannya mengenai politik Amerika Syarikat serta isu kebebasan bersuara.-REUTERS