Royal Raya Fashion Week 2026 himpunkan jenama fesyen tempatan

Fashion Royal Raya

BANGI, 6 Mac — Royal Raya Fashion Week 2026 dianjurkan sebagai platform bagi memperkukuh pembangunan jenama fesyen tempatan serta memberi pendedahan kepada pereka tempatan untuk menampilkan koleksi Aidilfitri secara lebih profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dianjurkan oleh The Jay Events & Media bersama Avaland; menghimpunkan tujuh jenama tempatan untuk koleksi Raya 2026.
  • Inisiatif membuka ruang kepada jenama baharu untuk membina keyakinan serta memperkukuh kedudukan industri fesyen tempatan.
  • Setiap jenama menampilkan identiti dan kekuatan tersendiri dalam koleksi Raya.
  • Sesi solekan bersama jurusolek profesional berkongsi tip kecantikan, manakala peserta memperoleh pengalaman menyampaikan jenama secara lebih tersusun di pentas profesional.

Acara selama dua hari yang dianjurkan The Jay Events & Media Sdn Bhd dengan kerjasama Avaland Berhad itu menghimpunkan tujuh jenama tempatan bagi mempersembahkan koleksi Raya 2026 dalam suasana yang lebih tersusun dan profesional.

Pengarah Urusan The Jay Events & Media, Muhammad Shafik Ridzuan Jailani berkata penganjuran program itu bertujuan membuka ruang kepada jenama baharu untuk membina keyakinan serta memperkukuhkan kedudukan dalam industri fesyen tempatan.

“Kami mahu memberi peluang kepada jenama tempatan untuk berkembang dan melihat potensi mereka ke tahap lebih tinggi. Platform ini juga membantu mereka mempersembahkan jenama secara lebih profesional,” katanya.

Tujuh jenama tempatan masing-masing menampilkan identiti serta kekuatan tersendiri dalam koleksi Raya tahun ini.

Selain pertunjukan fesyen, acara itu turut diserikan dengan sesi solekan khas bersama jurusolek profesional yang berkongsi tip kecantikan sempena musim perayaan.

Pengasas SAHL, Marya Merheby berkata penyertaan dalam program itu memberi pengalaman penting kepada jenamanya dalam memahami cara mempersembahkan jenama secara lebih tersusun di pentas profesional.