
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyajikan rangkaian program khas Ramadan dan Syawal 2026 bertemakan “Puasa Tetap Puasa & Raya Tetap Raya” yang menekankan penghayatan, keberkatan dan nilai kebersamaan masyarakat.
- RTM tampilkan program Ramadan dan Raya bertema penghayatan, keberkatan serta nilai kebersamaan masyarakat.
- Pembaharuan kandungan termasuk hos baru dan pengukuhan platform digital RTMKlik untuk tontonan mudah alih.
- Rangkaian siaran meliputi drama, telefilem, dokumentari, hiburan keluarga dan filem tempatan serta antarabangsa.
- Radio RTM siarkan 135 program khas raya, program kerohanian, drama radio dan Jelajah Ramadan 2026.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata pengisian kali ini merangkumi drama, program kerohanian, telefilem, dokumentari serta hiburan keluarga yang disiarkan menerusi saluran televisyen RTM, 34 stesen radio serta platform digital RTMKlik.
“Saya rasa orang boleh menonton Datuk Seri Siti Nurhaliza di televisyen, dan jika mereka pergi beraya, mereka boleh menggunakan RTMKlik untuk menonton. Di samping itu kita ada banyak program sepanjang bulan puasa seperti Borak Dulu Baru Buka dengan hos baharu selain Ustaz Amin, kali ini Nana Mahzan turut bersama.
“Secara keseluruhan banyak pembaharuan dibawa dan kita akan memperhebatkan RTMKlik kerana ramai yang menonton melalui telefon bimbit. Harapan saya, jika anda kesunyian di hari raya, RTM adalah teman setia anda.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Ramadan dan Raya di Studio M1 Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Antara program utama terbitan RTM termasuk Borak Dulu Baru Buka, Nawaitu, Malam 3 Syukur, Raya Macam Dulu, Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun, Citra Reka Busana 2.0 serta dokumentari Menyusur Takbir Di Belantara.
RTM turut menayangkan drama bersiri Ramadan seperti Rindu Medina dan Ferry Puasa Ke? selain 11 telefilem khas Aidilfitri di TV1, TV2 dan TV Okey.
Bagi peminat filem, pelbagai judul tempatan dan antarabangsa disediakan termasuk Sayang Salmah, Godzilla X Kong: The New Empire, The Dark Knight dan DC League of Superpets.
Di platform radio, RTM menampilkan 135 program khas raya serta meneruskan tradisi Jelajah Ramadan 2026 di samping program kerohanian, drama radio dan bual bicara sepanjang bulan puasa.
Datuk Suhaimi berkata pengisian kali ini diharap dapat menyatukan masyarakat serta menyemarakkan semangat kesyukuran sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.