Olivia Dean ‘borong’ empat anugerah di BRIT Awards

Penyanyi Britain, Olivia Dean / REUTERS

MANCHESTER, 1 Mac – Penyanyi Britain, Olivia Dean, muncul pemenang terbesar pada BRIT Awards yang berlangsung pada Sabtu apabila meraih empat trofi utama dalam anugerah muzik berprestij itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Olivia Dean muncul penerima trofi paling banyak di BRIT Awards dengan empat kemenangan penting.
  • Dean menang Lagu Terbaik untuk "Rein Me In", kolaborasi bersama Sam Fender.
  • Dia turut membawa pulang Anugerah Artis Pop Terbaik, Artis Terbaik dan Album Terbaik.
  • Majlis turut memberi penghormatan anumerta kepada Ozzy Osbourne dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Dean, yang berkongsi jumlah pencalonan tertinggi iaitu lima kategori bersama Lola Young, membuka kemenangan malam penuh gemilang itu menerusi kategori Lagu Terbaik menerusi single Rein Me In, hasil kolaborasi bersama penyanyi rock Sam Fender.

Penyanyi berusia 26 tahun itu, yang terkenal dengan gabungan muzik R&B, pop dan neo-soul, turut memenangi kategori Artis Pop Terbaik, Artis Terbaik serta Album Terbaik menerusi album studio keduanya, The Art of Loving.

“Penghasilan album ini mengubah hidup saya. Ia mengenai cinta dan saling menyayangi dalam dunia yang terasa semakin kurang kasih sayang ketika ini,” kata Dean, yang sebelum ini turut memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik di Anugerah Grammy awal bulan ini.

Sementara itu, Fender turut membawa pulang trofi Artis Alternatif/Rock Terbaik, manakala Young diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Baharu Terbaik.

Penganjur turut mengumumkan beberapa pemenang lebih awal, termasuk Noel Gallagher yang dinobatkan sebagai Penulis Lagu Terbaik Tahun Ini.

Dalam perkembangan lain, legenda muzik heavy metal Ozzy Osbourne, bekas vokalis kumpulan Black Sabbath, diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat secara anumerta. Dikenali peminat sebagai “Prince of Darkness”, Osbourne meninggal dunia pada Julai lalu pada usia 76 tahun, kira-kira dua minggu selepas konsert perpisahan emosional kumpulan berkenaan.

Bagi kategori antarabangsa, penyanyi Sepanyol Rosalía memenangi anugerah Artis Antarabangsa Terbaik.

“Saya ingin berkongsi kemenangan ini dengan rakan artis yang menghasilkan muzik dalam bahasa Sepanyol,” katanya.

Majlis BRIT Awards tahun ini berlangsung di bandar Manchester, utara England, sekali gus menjadi edisi pertama diadakan di luar London.-REUTERS