‘KPop Demon Hunters’ menang Oscar, lagu ‘Golden’ cipta sejarah K-pop

Artis dan penulis KPop Demon Hunters Maggie Kang (kiri), pengarah filem AS Chris Appelhans (tengah), dan penerbit filem Michelle Wong/ AFP

LOS ANGELES, 16 Mac – Filem animasi popular Netflix, KPop Demon Hunters berlatarkan mitologi tradisional Korea, memenangi Anugerah Akademi (Oscar) ke-98 bagi kategori Filem Animasi Terbaik pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu 'Golden' menang Lagu Asal Terbaik Oscar, jadi lagu K-pop pertama capai kemenangan tersebut.
  • Filem itu jadi fenomena global di Netflix; filem asli paling banyak ditonton, versi pawagam mengungguli carta kutipan pecah panggung.
  • Lagu 'Golden' buat sejarah, ciptaan pelbagai penulis termasuk EJAE, menjuarai carta lebih 10 negara dan meraih pelbagai anugerah antarabangsa.

Filem itu turut merangkul satu lagi trofi menerusi kategori Lagu Asal Terbaik untuk lagu Golden, sekali gus menjadi lagu K-pop pertama memenangi kategori berkenaan.

Karya yang diterbitkan bersama Sony Pictures Animation itu ditayangkan di platform penstriman Netflix pada Jun 2025 dan dengan pantas meraih pengikut global yang besar. Ketika ini, ia merupakan filem asli paling banyak ditonton dalam sejarah platform berkenaan.

Apabila versi khas nyanyian bersama ditayangkan di pawagam di Amerika Utara, filem tersebut turut mengungguli carta kutipan pecah panggung.

“Ini untuk Korea dan rakyat Korea di seluruh dunia,” kata pengarah bersama, Maggie Kang ketika menerima anugerah tersebut, bersama pengarah bersama Chris Appelhans dan penerbit Michelle Wong.

Saluran berita Korea Selatan, YTN memuji ucapan Kang sebagai “mesej penuh makna kepada Korea”, manakala akhbar Hankook Ilbo turut menampilkan petikan tersebut sebagai tajuk utama.

Menurut Kang, projek tersebut mengambil masa yang lama untuk direalisasikan. Beliau berkata idea menghasilkan filem K-pop itu akhirnya membuka ruang untuk menonjolkan pelbagai aspek budaya Korea.

“Saya menulis banyak perkara dalam bahasa Korea terlebih dahulu, kemudian memikirkan cara terbaik untuk menterjemahkan emosi dan dialog itu ke dalam bahasa Inggeris,” katanya dalam temu bual bersama The New York Times yang diterbitkan pada Januari lalu. Barisan pelakon utama filem berkenaan juga kebanyakannya terdiri daripada pelakon Korea.

Jeong Hoon Seo ((kiri), penyanyi Korea Selatan-AS Ejae (tengah), penulis lagu Golden Mark Sonnenblick/ AFP

Lagu ‘Golden’ cetus fenomena

Proses menghasilkan muzik untuk filem tersebut mengambil masa beberapa tahun. Menurut Kang, konsep filem itu agak luar biasa, justeru lagu-lagu yang dihasilkan perlu benar-benar berkualiti untuk diterima penonton.

Lagu ‘Golden’, yang menduduki carta teratas di lebih 10 negara, menjadi nadi utama filem tersebut dengan lirik dalam bahasa Inggeris dan Korea. Lagu berkenaan ditulis beberapa penulis termasuk penyanyi Korea-Amerika, EJAE yang turut menyumbang suara nyanyian bagi watak Rumi.

Sebelum ini, ‘Golden’ turut memenangi anugerah Lagu Asal Terbaik di Golden Globe Awards dan Critics Choice Awards, selain meraih Grammy Awards bagi kategori lagu terbaik yang ditulis untuk media visual.

Kemenangan di Oscar turut dianggap sebagai detik manis buat EJAE yang sebelum ini mendedahkan impiannya menjadi bintang K-pop tidak kesampaian selepas menjalani latihan hampir sedekad.

Ketika menerima anugerah Golden Globe pada Januari lalu, beliau berkata penolakan yang pernah dilalui tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya. Di Korea Selatan, peminat turut menyambut kejayaan tersebut sebagai bukti pengaruh budaya negara itu yang semakin meluas di peringkat global.

Seorang pengguna YouTube yang menggunakan nama Kim Chang-soo menyifatkan fenomena dikenali sebagai ‘K-syndrome’ kini turut menular dalam industri filem animasi, selain muzik, filem, buku, fesyen dan makanan Korea.- AFP