
JOHOR BAHRU, 12 April- Program ‘Ghazal Termasyhur Raya 2026’ berlangsung meriah di RTM Johor malam tadi dengan kehadiran lebih 500 penonton yang membanjiri Auditorium Permata Sari seawal pukul 7.30 malam.
- Konsert menampilkan lima artis terkemuka dan 15 lagu ghazal tradisional serta moden, menyemarakkan suasana Aidilfitri dengan nuansa nostalgia.
- Program ini hasil kerjasama strategik Johor FM dan Bahagian Berita Ehwal Semasa, kandungan disiarkan ke seluruh dunia menerusi RTM World.
- Program akan diteruskan secara dwi tahunan dan RTM berperanan memperluas seni tradisional kepada masyarakat, termasuk zapin dan wayang kulit Jawa.
Konsert bertemakan “Nostalgia dan Kemeriahan” itu menampilkan lima artis terkenal termasuk Ramlah Ram, Ezad Lazim dan Azizul Haqim, sekali gus menyemarakkan suasana Aidilfitri dengan alunan muzik penuh jiwa.
Sebanyak 15 lagu ghazal tradisional dan moden dipersembahkan sepanjang acara berkenaan.
Pengarah Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata penganjuran showcase itu menjadi platform kerjasama strategik antara Johor FM dan Bahagian Berita Ehwal Semasa bagi memperluas kandungan siaran.
“Ghazal merupakan antara seni muzik terbaik dan termasyhur, justeru program ini dinamakan Ghazal Termasyhur.
“Penganjurannya juga menjadi sinergi antara Johor FM dan Bahagian Berita Ehwal Semasa dalam menghasilkan kandungan untuk disiarkan ke seluruh dunia menerusi RTM World.
“Bagi mereka yang baharu mengenali ghazal, ini adalah peluang untuk memahami tradisi dan budaya kita serta menghargainya kerana seni ini tidak akan luput ditelan zaman,” katanya.
Program berkenaan akan diteruskan secara dwi tahunan pada masa akan datang.
Konsert itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan dan Pengarah Penyiaran Negeri Johor, Azman Hashim.
Dalam pada itu, Md Shahri berkata RTM berperanan sebagai medium dalam mengembangkan kesenian tradisional kepada masyarakat khususnya golongan muda.
“RTM melihat ini sebagai peluang untuk menjadi medium memperkenalkan dan memperluaskan lagi seni ghazal kepada masyarakat agar dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menjangkakan pelbagai pengisian kesenian dari negeri lain dapat diketengahkan menerusi RTM World termasuk zapin dan wayang kulit Jawa.