
KUALA LUMPUR, 19 Januari – Jenazah Allahyarham Nadia Kesuma, 50 selamat dikebumikan di Jeddah, Arab Saudi selepas solat Subuh pagi ini.
- Jenazah Nadia Kesuma dikebumikan di Jeddah selepas solat Subuh dengan kira-kira 500 jemaah hadir.
- Suami, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan, menyampaikan luahan duka dan mengenang isteri tercinta.
- Anak, Sarah, bersama rakan-rakan memandikan jenazah sebelum disembahyangkan dan diimamkan oleh suami.
- Nadia disahkan meninggal akibat sakit jantung selepas dilaporkan hilang di Jeddah; pemergiannya menyentuh ramai.
Menerusi satu hantaran di Facebook,suaminya Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan meluahkan kesedihan mendalam ketika meninggalkan isteri tercinta di persemadian terakhir.
“Saya terpaksa meninggalkanmu sekarang, sayang… dengan rasa pedih dan duka di hati. Namun saya tahu awak berada di tempat yang lebih bahagia,” tulisnya dalam hantaran Facebook hari ini
Beliau memaklumkan jenazah arwah telah selamat dikebumikan pada pada 7.35 pagi waktu tempatan selepas solat Subuh, dengan kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah di Masjid Althaniyan.
Menurut beliau, jenazah arwah terlebih dahulu dimandikan oleh anak mereka, Sarah bersama rakan-rakan arwah, sebelum disembahyangkan dan diimamkan sendiri olehnya.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak dan rakan arwah, dan sudah disembahyangkan serta diimamkan sendiri oleh saya, Alhamdulillah,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengenang pengorbanan arwah yang disifatkan sebagai isteri dan ibu penyayang, bekerja keras serta mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada keluarga, sahabat dan jiran sepanjang hayatnya.
Allahyarham Nadiah disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu, iaitu pada hari sama beliau dilaporkan hilang ketika berada di Jeddah, Arab Saudi.
Pemergian arwah yang pernah membintangi filem Munafik itu mengundang rasa sebak dan simpati dalam kalangan keluarga, rakan serta orang ramai yang mengikuti perkembangan kes berkenaan.