
KUALA LUMPUR, 9 April – Industri perfileman tempatan terus diperkasa menerusi pengenalan dana baharu berteraskan kenegaraan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
- Dana Citra diperkenal untuk menyokong filem yang mengangkat perpaduan, sejarah dan kecintaan kepada negara.
- Dana terbuka kepada semua genre, termasuk komedi, seram dan drama, selagi mesej menjurus kepada nilai kenegaraan.
- Peruntukan dana diluluskan oleh Kementerian Kewangan; pengumuman rasmi akan dibuat oleh Menteri dalam masa terdekat.
- FINAS fokus pada kutipan box office, menjadikan Malaysia hab penggambaran antarabangsa, serta pembangunan animasi dan harta intelek tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dana dikenali sebagai Dana Citra itu diperkenal bagi menyokong penerbitan filem yang mengangkat elemen perpaduan, sejarah serta kecintaan kepada negara.
Menurut beliau, dana berkenaan memberi peluang kepada penggiat industri yang mempunyai idea kreatif, tanpa mengira genre, sama ada komedi, seram atau drama, selagi mesej yang disampaikan menjurus kepada nilai kenegaraan.
“Keputusan Kementerian untuk kita laksanakan dana kenegaraan yang dipanggil Dana Citra. Sebab kita tahu filem menjadi medium penting untuk menyatukan masyarakat, bercerita tentang sejarah dan perpaduan,”jelasnya kepada media selepas Majlis Simposium Industri Kreatif 2026. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Tambah beliau, peruntukan dana tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, FINAS turut menetapkan tiga fokus strategik utama bagi memastikan industri filem tempatan terus berkembang dan berdaya saing.
Fokus pertama adalah memperkukuh kutipan box office serta memperluaskan pasaran filem tempatan ke peringkat antarabangsa melalui platform digital, penterjemahan dan saluran global.
“Kita bukan hanya fokus kepada box office, tetapi bagaimana kita eksport filem-filem tersebut melalui platform digital, penterjemahan dan saluran antarabangsa,” kata Datuk Azmir lagi.
Fokus kedua pula menjadikan Malaysia sebagai hab penggambaran bagi produksi antarabangsa, khususnya kandungan ‘unscripted’ dan format realiti.
Langkah itu bukan sahaja membuka peluang kepada kru tempatan untuk terlibat dalam produksi global, malah memberi impak ekonomi kepada sektor lain seperti perhotelan, pelancongan dan perkhidmatan.
Manakala fokus ketiga memberi penekanan kepada pembangunan industri animasi dan penghasilan harta intelek atau IP tempatan.
Usaha itu termasuk memperluaskan peluang pekerjaan kepada graduan serta menarik pelaburan luar dalam sektor animasi, selain mengukuhkan monetisasi kandungan kreatif tempatan.
FINAS menyasarkan dalam tempoh lima tahun akan datang, Malaysia mampu menjadi destinasi utama industri kreatif serantau, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor perfileman.