Ella umum artis jemputan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen

RINGKASAN BERITA AI
  • Ella umum barisan artis jemputan termasuk Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan The Boys.
  • Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen dijadualkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari 2026.
  • Konsert berperanan sebagai penghargaan emosi kepada peminat dan misi kebajikan masyarakat.
  • Konsep pentas Half Moon 35 meter dipilih; barangan rasmi eksklusif mula dijual sejak 14 Januari 2026.


KUALA LUMPUR, 30 Januari
 – Ratu Rock negara, Ella umum barisan artis jemputan yang bakal memeriahkan konsert berskala stadium Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, dalam satu majlis istimewa bertemakan Jamuan Tengah Hari Bersama Ella bersama rakan media.

Majlis yang berlangsung di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid itu diadakan sebagai tanda penghargaan Ella kepada media yang setia menyokong perjalanan seninya selama lebih tiga dekad.

Sekali gus, menjadi pembuka tirai kepada konsert mega yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari 2026.

Dalam suasana santai tersebut, Ella berkongsi kenangan dan penghargaan terhadap peranan media yang menjadi saksi kepada evolusi kerjaya seninya sejak awal pembabitan dalam industri muzik tanah air.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah barisan artis ternama yang diumumkan secara rasmi sebagai artis jemputan konsert berkenaan, antaranya Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan kumpulan The Boys (Ella & The Boys).

Menurut Ella, kehadiran mereka melambangkan penyatuan generasi muzik dan penghormatan terhadap legasi panjang penyanyi itu dalam dunia rock tanah air.

Berkongsi perasaannya, Ella menyifatkan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai sebuah perjalanan emosi dan simbol penghargaan buat peminat setianya.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi penghormatan buat peminat yang sentiasa bersama saya sejak awal kerjaya. Ia juga merupakan persembahan solo terbesar sepanjang perjalanan seni saya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, konsert berkenaan membawa misi kebajikan, sejajar dengan kepercayaannya bahawa muzik mampu menyatukan dan memberi impak bermakna kepada masyarakat.

“Peminat bukan sekadar penonton, mereka adalah sebahagian daripada sejarah itu sendiri,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, produksi konsert tersebut dirancang dengan teliti sebagai tanda penghormatan terhadap legasi Ella.

Konsep pentas separa bulan atau Half Moon sepanjang 35 meter dipilih sebagai simbol penyatuan peminat dan perjalanan sejarah yang dikongsi bersama.

Sebagai pelengkap pengalaman konsert, barangan rasmi eksklusif termasuk t-shirt, jersi, jaket, topi dan beg telah mula dijual sejak 14 Januari 2026 menerusi laman web www.hitmanlive.com.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella dijangka menjadi antara acara muzik paling bersejarah tahun ini, sekali gus mengangkat legasi seorang ikon rock yang tidak pernah pudar ditelan zaman.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan