Anak sulung Beckham dakwa putus hubungan dengan keluarga

FOTO AFP

LONDON, 20 Januari – Brooklyn Peltz Beckham, anak sulung kepada bekas pemain bola sepak terkenal Sir David Beckham dan ikon Victoria Beckham, mendakwa telah memutuskan hubungan dengan keluarganya selepas bertahun-tahun berdepan kawalan, tekanan awam serta manipulasi media.

RINGKASAN BERITA AI
  • Brooklyn dakwa memutuskan hubungan dengan keluarga selepas bertahun-tahun dikawal dan ditekan.
  • Dia menafikan isterinya mengawal dan sebaliknya tuduh ibu bapa mengutamakan imej awam.
  • Brooklyn dan isteri memilih hidup lebih privasi dan fokus kepada kebahagiaan bersama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (19 Januari), Brooklyn berkata dia tidak lagi berhasrat untuk berdamai dengan ibu bapanya, sambil menafikan dakwaan bahawa isterinya, Nicola Peltz Beckham, mengawal kehidupannya.

Sebaliknya, dia mendakwa dirinya dikawal oleh ibu bapanya sepanjang sebahagian besar hidup dan keputusan untuk menjauhkan diri daripada keluarga telah memberinya ketenangan serta melegakan kebimbangan yang dialami sejak sekian lama.

Brooklyn turut menuduh keluarganya berulang kali tidak menghormati isterinya dan lebih mengutamakan imej awam serta promosi jenama berbanding hubungan kekeluargaan. Dia mendakwa beberapa insiden berkaitan majlis perkahwinannya dan acara keluarga selepas itu menyebabkan dirinya berasa dihina dan dipinggirkan, termasuk situasi di mana isterinya tidak dialu-alukan.

Menurutnya, dia dan isterinya kini memilih untuk menjalani kehidupan yang menumpukan kepada privasi dan kebahagiaan, jauh daripada perhatian serta manipulasi media.-REUTERS

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan