Syawal tiba, elak ‘derita’ selepas raya

Foto hiasan/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalkan budaya belanja berhemat supaya tidak menderita dari segi kewangan selepas Aidilfitri.
  • Buat senarai keperluan, banding harga, utamakan barangan perlu dan sokong produk tempatan.
  • Elak skim BNPL dan pinjaman baharu; jangan berhutang untuk menampung perbelanjaan raya.

Memasuki fasa terakhir bulan Ramadan, umat Islam mula rancak membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Lazimnya, selain meningkatkan amal ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan, inilah juga masanya untuk anggota masyarakat berbelanja membeli segala kelengkapan yang diperlukan menjelang sambutan 1 Syawal.

Justeru sebelum memulakan perbelanjaan dan persiapan tersebut eloklah kita mengambil sedikit masa untuk bermuhasabah dan mendisiplinkan diri agar sentiasa ukur baju di badan sendiri, yakni mengamalkan budaya belanja berhemat dan tidak boros sehingga mengalami situasi ‘penderitaan’ selepas raya.

Penderitaan dalam konteks ini merujuk kepada masalah kewangan yang bakal dihadapi jika kita tidak mengawal perbelanjaan pada musim perayaan.

Hal ini penting untuk diberi perhatian kerana ramai yang mudah tewas dengan pelbagai godaan jualan murah yang sedang dipromosikan khususnya di platform media sosial sekali gus berbelanja sakan tanpa menyedari masalah kewangan yang bakal dihadapi selepas raya.

Ironinya tidak salah untuk membeli keperluan baharu sebagai persiapan sambutan Aidilfitri yang diraikan setahun sekali, namun biarlah berpada dan ikut kemampuan kewangan keluarga masing-masing.

Antara tip penting ialah buat senarai keperluan pembelian mengikut keperluan dan kemahuan dengan memberikan keutamaan kepada aspek keperluan. Baik pakaian raya, kuih raya mahu pun peralatan rumah yang lain seeloknya dinilai secara lebih objektif agar hanya beli apa yang diperlukan saja, selain tidak perlu beli mengikut trend di media sosial.

Dalam hal ini, ketua setiap keluarga perlu mengamalkan disiplin yang tinggi dan mendidik ahli keluarga agar sentiasa mematuhi perancangan yang telah dibuat dengan teliti. Perbelanjaan yang hendak dilakukan sewajarnya mengambil kira soal kos sara hidup yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang.

Selain itu, kita juga perlu bijak memilih dari segi kualiti dan harga sebelum membuat pembelian. Misalnya, inilah masanya untuk kita mengutamakan produk atau barangan tempatan berbanding barangan import yang lazimnya lebih mahal.

Harus diingat kualiti barangan tempatan tidak perlu dipersoalkan, malah harga juga lebih murah berbanding barangan luar. Sokongan kita kepada produk tempatan juga akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi domestik dan menjana pendapatan masyarakat setempat.

Di samping itu, kita juga perlu bijak membuat perbandingan harga jualan sebelum membuat sesuatu pembelian. Hakikatnya pada ketika ini tawaran jualan sesuatu produk itu semakin banyak, misalnya pengusaha baju raya semakin ramai dan masing-masing mula memberikan pelbagai diskaun atau potongan harga.

Jadi kita tidak perlu membuat pembelian panik atau dalam keadaan gopoh, sebaliknya ambil masa untuk menilai dan membuat perbandingan harga serta kualiti yag sewajarnya sebelum membuat pembelian.

Tindakan bijak seperti ini bukan saja boleh menjimatkan kos perbelanjaan, malah memberikan pulangan yang setimpal untuk nilai wang yang kita belanjakan.

Ringkasnya, jangan mudah terpengaruh dengan kadar diskaun atau tawaran menarik yang dilakukan oleh penjual di setiap platform media sosial. Percayalah itu memang kerja mereka dan sememangnya mereka bijak berkata-kata sehingga membuatkan kita terpesona dan timbul keinginan untuk terus membelinya.

Hakikatnya, untuk hadapi situasi ini kita perlu ada daya tahan mengawal nafsu perbelanjaan yang tinggi.

Elak juga terjerat dengan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) kerana dikhuatiri boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada ekonomi rakyat dalam jangka masa panjang. Statistik pihak berkuasa menunjukkan jumlah transaksi BNPL meningkat ketara khususnya dalam kalangan anak muda berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.

Secara umumnya, BNPL digunakan bertujuan memudahkan pembeli tanpa perlu mengganggu bajet bulanan ketika pembelian dilaksanakan, namun pembelian tanpa kawalan dan disiplin diri yang tinggi akan menjerat kita kemudian hari.

Walaupun hutang BNPL diklasifikasikan masih terkawal daripada sudut sistem kewangan negara, namun peningkatan mendadak penggunaan skim itu mendedahkan risiko baharu terhadap kestabilan kewangan isi rumah, khususnya bagi golongan muda dan berpendapatan rendah.

Satu lagi perkara penting ialah, jangan sesekali membuat pinjaman baharu untuk menampung perbelanjaan hari raya. Sedarlah tindakan ini akan menjerat kita kembali untuk satu jangka masa yang panjang selepas raya.

Anggota masyarakat perlu sedar berhutang untuk menyambut raya bukan suatu pilihan atau tindakan yang bijak. Ini juga akan membawa kita ke budaya ‘gali lubang, tutup lubang’ yakni kitaran hutang berterusan yang tidak sihat.

Tuntasnya, dalam keghairahan kita membuat perbelanjaan sebagai persiapan menyambut Hari Raya, jangan sesekali lupa untuk mengamalkan budaya belanja berhemat agar kita tidak ‘menderita’ selepas 1 Syawal.

Ironinya, jangan mencemari tarbiah madrasah Ramadan yang banyak mengajar dan mendidik kita untuk bersabar dan bersederhana dengan perbelanjaan yang boros dan mengikut nafsu di 10 hari terakhir.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia