Penubuhan MMC perkasa akses keadilan, tawar penyelesaian pertikaian lebih cepat dan mampu milik

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • MMC sebagai platform alternatif untuk kes komersial bernilai di bawah RM250,000, mengurangkan beban mahkamah.
  • Kos mediasi dianggarkan RM300 hingga RM500, jauh lebih rendah berbanding kos litigasi.
  • Pengalaman PMC-19 menunjukkan mediasi praktikal, cepat dan kos efektif sebagai asas penubuhan MMC.
  • Perlu pengukuhan latihan, pensijilan mediator, kesedaran awam, penggunaan ODR dan klausa mediasi dalam kontrak.

Cadangan penubuhan Pusat Mediasi Malaysia (MMC) dilihat sebagai langkah strategik dalam memperluas akses kepada keadilan, khususnya bagi golongan B40 dan M40, dengan menawarkan kaedah penyelesaian pertikaian yang lebih cepat, kos efektif dan inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum ini memaklumkan bahawa MMC akan berfungsi sebagai platform alternatif kepada proses mahkamah, khususnya bagi kes komersial bernilai di bawah RM250,000. Kos mediasi dijangka sekitar RM300 hingga RM500, jauh lebih rendah berbanding kos litigasi.

MMC juga dijangka memanfaatkan kepakaran bekas hakim dan pegawai berpengalaman sebagai mediator, selaras dengan konsep sulh dalam Islam yang mengutamakan penyelesaian secara damai sebelum litigasi.

Seorang penyelidik dalam bidang mediasi menyifatkan cadangan ini sebagai tepat pada masanya, memandangkan Malaysia sebelum ini telah mempunyai pengalaman melalui pelaksanaan Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) pada tahun 2020.

Inisiatif sementara itu diperkenalkan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara COVID-19 2020 bagi menyelesaikan pertikaian kontrak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PMC-19, yang beroperasi sehingga 2022, melibatkan kes seperti sewaan, pembinaan dan perkhidmatan dengan had nilai sekitar RM500,000.

Prosesnya bersifat sukarela, tidak melibatkan mahkamah, serta menggunakan mediator berkecuali dengan kos minimum atau disubsidi, sekali gus membuktikan keberkesanan mediasi sebagai mekanisme alternatif penyelesaian pertikaian.

“Pengalaman PMC-19 menunjukkan bahawa mediasi mampu berfungsi secara praktikal, cepat dan kos efektif. Ini menjadi asas kukuh kepada penubuhan MMC sebagai institusi kekal,” katanya.

Inisiatif ini juga selari dengan Akta Mediasi 2012 yang menggalakkan penggunaan mediasi dalam sistem perundangan negara.

Namun begitu, kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia mendapati tahap kesedaran masyarakat terhadap mediasi masih rendah. Antara cabaran utama termasuk kurang pemahaman terhadap konsep mediasi, kekurangan kepercayaan terhadap mediator, serta salah tanggapan bahawa mediasi kurang berkesan berbanding litigasi.

Sehubungan itu, kerajaan disaran mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam melalui kempen pendidikan, penggunaan media sosial serta kerjasama dengan dewan perniagaan dan organisasi industri.

Latihan dan pensijilan mediator juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan kredibiliti dan keyakinan terhadap sistem ini.

Selain itu, akses kepada mediator bertauliah wajar dipermudah melalui platform rasmi, manakala klausa mediasi disyorkan dimasukkan dalam kontrak komersial sebagai langkah pra-litigasi.

Penubuhan MMC turut dilihat mampu memperkukuh prinsip access to justice, khususnya bagi individu dan perusahaan kecil yang tidak berkemampuan mendapatkan khidmat guaman.

Kerajaan juga digesa mempertimbangkan insentif tambahan seperti pengurangan kos, mekanisme penguatkuasaan yang lebih jelas, serta penambahbaikan terhadap rangka kerja perundangan sedia ada.

Dalam masa sama, penglibatan mediator bertauliah sedia ada perlu diperluas secara inklusif dengan mekanisme akreditasi yang jelas bagi memastikan profesionalisme dan integriti sistem mediasi negara.

MMC juga berpotensi memanfaatkan teknologi seperti Online Dispute Resolution (ODR) bagi memperluas capaian perkhidmatan, khususnya di kawasan luar bandar.

Sekiranya dilaksanakan secara menyeluruh, MMC dijangka mentransformasikan landskap penyelesaian pertikaian di Malaysia ke arah pendekatan yang lebih kolaboratif, efisien dan berteraskan keadilan sosial.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Hanna Ambaras Khan
Pensyarah Kanan
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Putra Malaysia
emel: hanna@upm.edu.my