
SAUDARA PENGARANG
- Wakaf ialah penahanan harta kekal yang manfaatnya mengalir selepas mati, berbeza dengan sedekah habis pakai.
- Wakaf adalah bentuk sedekah jariah berlandaskan hadis yang menjanjikan pahala berterusan selepas kematian.
- Sejarahnya menjadikan wakaf nadi pembangunan tamadun Islam, menyokong masjid, madrasah, hospital dan institusi ilmu.
- Cabaran kontemporari memerlukan kefahaman luas tentang wakaf tunai, kolektif, pendidikan, kesihatan dan ekonomi untuk pembangunan ummah mampan.
Merenung jauh di dalam hiruk-pikuk kehidupan moden, manusia sering sibuk mengumpul, memiliki dan mempertahankan harta. Rumah dibina bertingkat-tingkat, simpanan disusun berlapis-lapis, aset diurus demi jaminan hari esok.
Namun, di sebalik semua itu, Islam hadir dengan satu konsep yang bersifat radikal tetapi penuh hikmah, iaitu wakaf. Ia mengajarkan manusia seni memberi yang tidak memiskinkan, bahkan menjadikan kematian sebagai permulaan aliran pahala yang tidak terputus.
Wakaf bukan sekadar amalan kebajikan, tetapi sebuah falsafah hidup yang menata semula hubungan manusia dengan harta, masa depan dan akhirat. Ia adalah bentuk pemberian yang dilakukan ketika hidup, namun manfaat dan ganjarannya terus mengalir selepas mati.
Secara ringkas, wakaf merujuk kepada penahanan harta yang bersifat kekal (atau boleh dimanfaatkan berulang kali) dan menyalurkan manfaatnya untuk tujuan kebajikan kerana Allah SWT. Berbeza dengan sedekah yang habis digunakan, wakaf memerlukan harta yang pokoknya dikekalkan, manakala hasil atau manfaatnya diagihkan.
Wakaf dalam sejarah Islam, menjadi nadi pembangunan tamadun seperti membiayai masjid, madrasah, hospital, sistem bekalan air, tempat tinggal musafir dan institusi ilmu. Universiti al-Azhar di Mesir misalnya, mampu bertahan beratus tahun bukan kerana dana kerajaan semata-mata, tetapi kerana sistem wakaf yang mantap dan berterusan.
Dalil pensyariatan wakaf berpaksikan kepada konsep sadaqah jariyah. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan doa anak yang soleh” (Hadis riwayat Muslim). Oleh itu, wakaf adalah manifestasi paling jelas kepada sedekah jariah iaitu amalan yang tidak mati bersama jasad.
Justeru, untuk memahami jiwa wakaf, bayangkan sebuah mata air yang mengalir tenang. Orang ramai minum daripadanya, tanaman hidup kerananya, haiwan bergantung kepadanya. Si penggali mata air mungkin telah tiada, tetapi jasanya terus dirasai dan dinikmati. Inilah hakikat wakaf di mana pemberi mungkin telah pergi, namun kesan dan manfaatnya terus kekal hidup.
Berbeza dengan harta yang diwariskan lalu habis dibelanjakan, wakaf ibarat sungai amal yang tidak pernah kering. Ia mengajarkan manusia bahawa kekayaan sebenar bukan pada apa yang disimpan, tetapi pada apa yang ditinggalkan untuk manfaat orang lain.
Allah SWT mengingatkan: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna (al-birr), sehingga kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai” (Surah Ali ‘Imran: 92).
Ayat ini bukan sekadar menyeru kepada pemberian, tetapi mencabar sifat kepemilikan manusia. Wakaf menuntut keikhlasan tahap tinggi iaitu memberi sesuatu yang bernilai, bukan lebihan yang tidak lagi diingini. Salah satu penyakit masyarakat moden ialah ilusi pemilikan mutlak. Manusia merasa aman kerana memiliki, sedangkan hakikatnya semua yang dimiliki hanyalah pinjaman sementara.
Wakaf membebaskan manusia daripada belenggu ini dengan mengembalikan kesedaran bahawa harta hanyalah alat, bukan tujuan.
Imam al-Ghazali pernah mengingatkan bahawa cinta kepada dunia bukan terletak pada memiliki harta, tetapi pada keterikatan hati dengannya. Wakaf, dalam hal ini, berfungsi sebagai latihan spiritual iaitu melonggarkan genggaman hati terhadap dunia dan mengukuhkan hubungan dengan akhirat.
Maka, dengan berwakaf, seseorang itu seolah-olah berkata: “Aku reda melepaskan, kerana aku yakin apa yang di sisi Allah SWT lebih
kekal”.
Walaupun wakaf memiliki sejarah gemilang, realitinya hari ini menunjukkan amalan wakaf sering disempitkan kepada pembinaan masjid atau tanah perkuburan semata-mata. Sedangkan ruang wakaf sangat luas ianya meliputi wakaf pendidikan, wakaf kesihatan, wakaf ekonomi, wakaf teknologi dan bahkan wakaf ilmu.
Antara cabaran utama ialah: (1) Kefahaman masyarakat yang terhad terhadap konsep wakaf kontemporari; (2) Persepsi bahawa wakaf hanya untuk golongan kaya, sedangkan Islam membuka ruang wakaf tunai dan wakaf kolektif; (3) Kurangnya naratif spiritual yang mengaitkan wakaf dengan makna hidup dan kematian. Sedangkan, wakaf bukan soal jumlah, tetapi niat dan kesinambungan manfaat.
Wakaf dari sudut sosio-ekonomi, berpotensi menjadi instrumen pembangunan ummah yang mampan. Wakaf pendidikan melahirkan generasi berilmu, wakaf kesihatan menjaga kebajikan awam, wakaf ekonomi membantu golongan rentan keluar daripada kemiskinan.
Maka, di sinilah wakaf bertemu dengan konsep maqasid al-shariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Wakaf bukan hanya ibadah ritual, tetapi jihad sosial yang berimpak jangka panjang. Keindahan wakaf terletak pada paradoksnya; ketika manusia melepaskan pemilikan, di situlah ia memperoleh kekekalan.
Saat jasad dimakamkan, amal wakaf terus berjalan seperti setiap doa yang dibaca di masjid wakaf, setiap ilmu yang dituntut di institusi wakaf, setiap nyawa yang diselamatkan melalui dana wakaf. Inilah pelaburan yang tidak terkesan oleh inflasi dunia, tetapi nilainya meningkat di sisi Allah SWT.
Akhirnya, wakaf mengajarkan bahawa kematian bukanlah penamat bagi orang beriman, tetapi permulaan kepada kehidupan yang kekal dengan pahala yang terus mengalir. Ia mengubah makna kejayaan daripada sekadar harta kepada kesan kebaikan yang ditinggalkan kepada manusia.
Hakikat kekayaan sebenar bukan pada apa yang dimiliki, tetapi pada apa yang diinfakkan kerana Allah SWT. Memberi ketika hidup dan meraih pahala berterusan selepas mati dan itulah inti pati wakaf sebagai amal yang melangkaui zaman serta kehidupan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Muhammad Latiffi Mahadzir
Pegawai Pejabat Zakat, Wakaf, Infaq (ZAWAIN)
Pensyarah Sambilan
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh
Universiti Sains Malaysia