KUALA LUMPUR, 5 Januari - Pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) tidak akan dikenakan penalti pada tahun ini, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
LHDN dalam kenyataan berkata, langkah itu susulan persetujuan kerajaan untuk memberikan tempoh peralihan kepada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian dan juga bukan penggajian seperti sewa, faedah dan royalti bagi pematuhan CP500 untuk Tahun Taksiran (TT) 2026.
“Dalam tempoh peralihan ini, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500 tersebut.
''Namun, pembayar cukai digalakkan membuat bayaran ansuran CP500 secara sukarela bagi membantu mengurangkan beban bayaran baki cukai semasa pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak,” menurut kenyataan itu.
Agensi itu menjelaskan, tiada keperluan untuk pembayar cukai yang hanya mempunyai punca pendapatan penggajian sahaja untuk mematuhi arahan bayaran ansuran berkenaan, selaras dengan konsesi pengenaan penalti yang diumumkan.
Bagaimanapun, pembayar cukai dinasihatkan untuk mengemas kini pelaporan penerimaan pendapatan dalam BNCP bagi TT 2025 untuk mengelakkan penerimaan arahan bayaran ansuran CP500 pada masa hadapan.
''Pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi TT 2026, boleh membuat pindaan kali pertama selewatnya pada 30 Jun dan pindaan kali kedua selewatnya pada 31 Oktober.
''LHDN menyarankan pembayar cukai melaporkan pendapatan dalam BNCP dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur.
“Pihak kami juga akan menghubungi pembayar cukai yang terlibat untuk menjelaskan sebarang kesilapan pelaporan pendapatan dalam BNCP yang telah dikemukakan oleh pembayar cukai sebelum ini,” menurut kenyataan itu.