KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Strategi lindung nilai geoekonomi menerusi pempelbagaian hubungan perdagangan dan sumber dijangka terus memacu daya tahan ekonomi Malaysia, meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pendekatan itu mampu mengurangkan kesan daripada risiko kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China yang merupakan rakan dagang utama negara.
Mohd Sedek Jantan/Gambar Hiasan
“Perdagangan intra-ASEAN sedang meningkat dengan pertumbuhan 12 peratus tahun ke tahun, manakala perdagangan melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berpotensi mengimbangi tekanan daripada AS dan China.
“Daripada segi penggunaan swasta yang menyumbang kira-kira 60 peratus kepada KDNK negara, kami menjangkakan momentum ini kekal dinamik, didorong oleh kenaikan gaji minimum, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan inisiatif Budi95 yang merangsang perbelanjaan,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Sementara itu, Sedek berpandangan unjuran kenaikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia oleh Bank Dunia daripada 3.9 peratus kepada 4.1 peratus tahun ini masih dianggap konservatif.
Jelasnya, IPPFA mengekalkan unjuran KDNK negara pada paras 4.4 hingga 4.5 peratus, sejajar dengan julat unjuran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 hingga 4.8 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Tambahnya lagi, statistik jualan runcit yang meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025 turut memberi petunjuk positif terhadap prestasi ekonomi negara, disokong pendirian dasar monetari BNM yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.