KUALA LUMPUR, 29 Januari- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan kemudahan akses kepada maklumat pemunyaan benefisial.
Menerusi kenyataan SSM, inisiatif tersebut bertujuan bagi menyediakan maklumat pemunyaan benefisial syarikat di Malaysia yang tepat dan terkini, sekali gus memperkukuh ketelusan korporat.
"Kemudahan akses ini disediakan menerusi inisiatif Pembekalan Maklumat Pemunyaan Benefisial selaras dengan Peraturan-Peraturan Syarikat (Akses Kepada Daftar dan Maklumat Yang Berhubungan Pemunyaan Benefisial) 2025.
Ia juga menjadi langkah penting dalam memerangi aktiviti seperti penggubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai," kata kenyataan itu.
Di bawah Seksyen 56 Akta Syarikat 2016, syarikat-syarikat diwajibkan untuk mendapatkan, merekodkan dan melaporkan maklumat pemunya benefisial kepada pendaftar.
Antara maklumat yang boleh diperoleh melalui inisiatif itu merangkumi nama pemunya benefisial, tarikh pelantikan sebagai pemunya benefisial, kategori pemunya benefisial serta status syarikat.