fb fb fb fb fb

SME Bank tingkat bantuan banjir untuk usahawan terjejas di seluruh negara

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memperluas sokongan bantuan banjir, bagi membantu usahawan dan perniagaan terjejas banjir, baru-baru ini.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, inisatif tersebut merceminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam memastikan daya tahan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terutamanya ketika berlaku gangguan operasi akibat bencana alam.

"Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), peranan kami melangkaui pembiayaan, tetapi turut merangkumi sokongan yang tepat kepada usahawan yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, inisiatif itu dirangka untuk meringankan beban usahawan terjejas, menyokong pemulihan mereka, serta mengukuhkan daya tahan terhadap risiko iklim pada masa hadapan.

Inisiatif bantuan banjir SME Bank itu telah menyokong hampir 500 pelanggan dengan jumlah baki belum dijelaskan sebanyak RM550 juta sejak lima tahun lalu, sekali gus menunjukkan komitmen jangka panjang bank itu untuk terus bersama usahawan ketika menghadapi krisis.

Dalam masa sama, SME Bank turut menawarkan sokongan melalui Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt), yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan banjir dan kelangsungan perniagaan PMKS.

RAFt itu menyediakan dua bentuk bantuan termasuk pembiayaan bantuan yang memberi fokus kepada pengurangan kekangan aliran tunai segera bagi PKS yang terjejas akibat banjir, dengan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar keuntungan 3.50 peratus setahun.

Selain itu, pembiayaan adapatasi turut ditawarkan bagi memperkukuh ketahanan jangka panjang terhadap risiko banjir, dengan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar keuntungan 3 peratus setahun dan tempoh pembiayaan maksimum tujuh tahun

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN