fb fb fb fb fb

Sistem pembayaran Kod QR pacu integrasi ekonomi intra-ASEAN

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid ditemu bual pemberita/RTM

KUALA LUMPUR, 8 November - Penggunaan sistem pembayaran Kod Respons Pantas (QR) dan pindahan tunai di peringkat serantau antara langkah penting ke arah memperkukuh integrasi ekonomi dan perdagangan intra-ASEAN.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid berkata inisiatif itu menjadi simbol kesediaan negara ASEAN untuk menerima prinsip bersama dalam memperkukuh kerjasama serantau.

"Apabila kita mempunyai sistem yang digunakan bersama, ia melambangkan kesediaan untuk duduk semeja dan membentuk kesepakatan dalam mempererat hubungan antara rakyat ASEAN.

Kita bermula dengan penggunaan kod QR serta penyelesaian mata wang sebagai asas yang mudah, sebelum dikembangkan kepada penyelesaian perdagangan. Dalam jangka panjang, tidak mustahil ASEAN dapat mewujudkan mata wang perdagangan bersama seperti yang diamalkan Kesatuan Eropah,” katanya kepada pemberita RTM.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Malaysia akan terus mendorong usaha memperluas kesambungan sistem pembayaran serantau sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Sementara itu, Prof Madya Dr. Mohamed turut berpandangan, ASEAN wajar beri perhatian kepada tiga bidang utama lain khususnya keterjaminan makanan, keterjaminan tenaga, serta pembentukan pasaran bersama yang merangkumi sektor kewangan, perkhidmatan dan pelancongan.

Katanya, kerjasama dalam sektor-sektor ini akan memberi manfaat besar kepada ekonomi serantau, khususnya dalam mengurangkan kos eksport berikutan kedudukan geografi yang berdekatan.

"Apabila ASEAN mula memberi tumpuan kepada perdagangan antara sesama anggota, kuasa rundingan rantau ini dalam perjanjian antarabangsa juga akan menjadi lebih kukuh," jelasnya lagi.

Menurutnya, ASEAN juga perlu lebih agresif dalam membangunkan teknologi baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ