KUALA LUMPUR, 8 November - Pengeluar kereta nasional, Proton mencatat jualan tertingginya setakat tahun ini dengan 15,575 unit kenderaan terjual bagi bulan Oktober 2025.
Jumlah itu meningkat sebanyak 16.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan jualan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini sebanyak 129,872 unit.
Proton dalam kenyataan memaklumkan, seiring kenaikan itu, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Oktober dianggarkan melonjak 32.3 peratus kepada 77,377 unit, paras tertinggi bagi tahun ini.
''Pencapaian PROTON seiring dengan kebangkitan semula industri automotif negara. Hanya dua bulan lagi sebelum 2025 melabuhkan tirai dan pasaran automotif Malaysia kekal di landasan kukuh untuk melepasi jualan 800,000 unit dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama di rantau ASEAN,'' menurut kenyataan itu.
Kenyataan ituu turut memaklumkan bahawa Proton Saga terus mendominasi penjualan kenderaan dengan jualan mencecah 8,373 unit pada bulan Oktober, tertinggi sejak Julai 2013 sekali gus meletakkan model itu di tangga kedua carta jualan nasional.
Manakala e.MAS 7 terus menerajui pasaran EV negara menerusi penjualan 758 unit pada bulan sama, menjadikan keseluruhan jualan setakat tahun ini sebanyak 7,413 unit dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai model EV nombor satu di Malaysia.
''Penghantaran pertama bagi model EV keduanya, Proton e.MAS 5 diharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan elektrik utama di negara ini,'' tambah kenyataan itu.