fb fb fb fb fb

Sime Darby catat untung bersih suku kedua RM812 juta

KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) melonjak 32 peratus kepada RM812 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM617 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan, hasil pula meningkat kepada RM5.59 bilion daripada RM4.41 bilion sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang tinggi terus menyokong prestasi kukuh kumpulan.

Namun, pengeluaran buah tandan segar terjejas akibat kekurangan tenaga buruh bagi operasi di Malaysia.

"Kekurangan pekerja asing sah di Malaysia telah menjejaskan produktiviti SDP manakala langkah-langkah baharu yang dimulakan untuk mewujudkan persekitaran bekerja yang lebih baik telah meningkatkan kos pengeluaran.

Bagi menangani isu-isu ini, kumpulan telah mengambil langkah berani untuk melaksanakan proses penjenteraan, mengautomasi dan mendigitalkan kerja yang sebelum ini dilakukan secara manual, yang mengurangkan keperluan buruh," katanya pada sidang media prestasi SDP bagi suku kedua tahun kewangan 2022 secara maya.

(Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan)

Sementara itu, SDP mengisytiharkan dividen interim 10 sen sesaham bagi Tahun Kewangan 2022, meningkat daripada 7.90 sen sesaham pada Tahun Kewangan 2021 yang akan dibayar pada 18 November depan. 

Media Baharu